Catatan Popular

Sabtu, 5 Mac 2016

SOALAN JAWAPAN : USULUDDIN 1 ) TAUHID / TASAWWUF (PAST YEAR PAPER 2012)


BAHAGIAN A) TAUHID


1) Jelaskan pendapat Ahli Sunnah mengenai maksud mengucap Dua Kalimah Syahadat dan mengerjakan amal ibadat serta hubungan keduanya dengan iman.


Maksud Dua Kalimah Syahadat dan mengerjakan amal ibadat

Mengucap Dua Kalimah Syahadat ialah mengaku dan berikrar bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Mengerjakan amal ibadat ialah menunaikan kewajipan-kewajipan agama dan meninggalkan larangan-larangannya.


Hubungan Keduanya dengan Iman

Menurut pendapat Ahli Sunnah mengucap Dua Kalimah Syahadat tidak termasuk dalam hakikat iman tetapi ia hanya merupakan satu syarat untuk dijalankan hukum-hukum agama di dunia sahaja seperti syarat bagi orang kafir yang hendak memeluk agama Islam. Mengucap Dua Kalimah Syahadat juga merupakan tanda seseorang itu adalah orang Islam supaya dapat diperlakukan sebagai seorang Islam, seperti dijadikan imam sembahyang.

Golongan ini berpendapat bahawa keyakinan dan pengakuan iman itu adalah perkara yang tidak dapat dilihat oleh manusia selain daripada Allah.

Ahli Sunnah jua berpendapat orang yang menerima Islam dengan hati yang patuh, tetapi tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat tanpa sebarang keuzuran maka hukumnya mukmin disisi Allah tetapi Islam disisi masyarakat umpama seorang munafiq.

Ini berdasarkan dalil firman Allah Taa'ala mengenai orang munafiq dalam Surah Hujaraat ayat 14, mafhumnya : -

"Orang Badawi itu telah berkata : Kami telah beriman. Katakanlah kepada mereka : Kamu belum beriman, tetapi katakanlah : Kami telah menganut Islam dan iman belum lagi masuk ke dalam hati kami."

Mengerjakan amalan pula adalah merupakan syarat bagi orang-orang yang beriman untuk kesempurnaan imannya. Sesiapa yang tidak mengerjakan amal ibadat yang diperintahkan oleh Allah ia masih dianggap mukmin tetapi tidak sempurna imannya dan disifatkan sebagai orang yang durhaka. Tetapi jika ia ingkar akan wajib dan haramnya seperti mengatakan arak itu halal, maka hukumnya kafir.



ii) Ulama Mutakallimin berselisih pendapat mengenai bertambah dan berkurangnya iman. Nyatakan pendapat Imam Asy'ari mengenai dengan memberikan DUA dalil akal dan DUA dalil syarak bagi menyokong pendapat tersebut.

Imam Asy'ari berpendapat bahawa Iman bertambah dengan bertambahnya amal yang baik dan berkurangnya Iman dengan kurangnya amal baik.

Dalil Akal, antaranya :

1) Kebenaran dan keyakinan hati boleh bertambah dan berkurang dengan banyak timbang dan celik akal yang mendalam dan keterangan dalil diperolehinya dan berkurang dengan ketiadaan keduanya.

2) Kepercayaan yang timbul dari satu dalil tentulah tidak sama kuatnya dengan yang timbul dari dalil yang banyak, begitu juga kepercayaan yang timbul dari dalil yang ringkas tidak sama dengan kepercayaan yang timbul dari dalil satu persatu yang boleh menolak segala kekeliruan.

3) Iman yang sentiasa bertambah terus tidak ada kurang hanya iman nabi-nabi.

4) Jika iman tidak bertambah dan berkurang, tentulah iman orang biasa dengan iman nabi-nabi adalah sama sahaja. Ini adalah mustahil.


Dalil Naqli, antaranya :

1) Iman orang yang bertaklid tentulah tidak sama dengan iman orang yang betul-betul mengenali Allah, seperti firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 2 "Apabila dibacakan kepada mereka ayat Allah nescaya bertambahlah iman mereka". Ini menunjukkan iman boleh berubah.

2) Rasululllah pernah bersabda "Kalau ditimbang Iman Abu Bakar dengan Iman semua umat Islam, lebih berat Iman Abu Bakar".

3) Ibnu Umar r.a pernah bertanya kepada Rasulullah "Adakah iman itu boleh bertambah dan berkurang?" Jawab Rasulullah s.a.w.. "Ya !! Iman boleh bertambah hingga melayakkan tuannya memasuki syurga dan boleh berkurang menyebabkan tuannya masuk neraka".




2) Ulama Mutakalimin telah membahagikan sifat-sifat wajib bagi Allah Ta'ala kepada EMPAT bahagian iaitu Sifat Nafsiah, Salbiah, Ma'ani dan Ma'nawiah.

i) Tuliskan secara ringkas mengenai sifat Nafsiah bagi Allah Ta'ala serta dalil.

Sifat Nafsiah bagi Allah Ta'ala ada satu iaitu wujud (ada). Mustahil Allah bersifat tiada. Wujud bagi Allah ialah wujud zati, iaitu adanya Allah kerana zatNya, wujudnya Allah Ta'ala tidaklah dengan perantaraan sesuatu pun di luar zatNya, tidaklah sebagaimana adanya manusia iaitu manusia menggunakan perantaraan ibu dan bapa untuk wujud, sebaliknya wujud Allah tidak seperti manusia, hanya Allah Ta'ala sahaja Yang Maha Mengetahui.

Dalil Naqli menunjukkan adanya Allah Ta'ala dalam surah Az-Zumar ayat 4 "-

Dan Firman Allah Ta'ala dalam surah Az-Zumar ayat 5 ertinya :

" Telah menjadikan (Allah) tujuh lapisan langin dan bumi dengan kebenarannya".

atau

Dalil akal adanya Allah Ta'ala

Adanya alam ini yang berubah setiap masa dan waktu seperti matahari, bulan, bintang, kematian adanya binatang dan manusia, gunung-ganang, siang dan malam dan kejadian-kejadiannya yang sempurna, membuktikan dengan nyata adanya pencipta iaitu Allah Ta'ala. Dengan bukti kejadian itu akal menerima dan berkata : Mesti ada yang menjadikan dan mengadakan seluruh alam ini, tidak lain hanya pencipta yang sempurna dan berkuasa iaitu Allah Ta'ala.

Kejadian Alam yang sempurna adalah Dalil nyata wujudnya Allah Ta'ala.

Apabila kita pandang kepada kejadian manusia dan seluruh alam ini, maka kita dapati tiap-tiap satunya telah dijadikan cukup lengkap, elok, teratur dan sempurna. Ternyatalah sesungguhnya yang menjadikan semua ini tentulah pencipta yang mempunyai kuasa yang sempurna dengan sifat kesempurnaan yang mana suci dan tidak serupa dengan makhluk.

Dan Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-A'raaf ayat 54 ertinya :

"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi."

Dan lagi dalil Aqal : Alam dan setiap bahagiannya wajib berkehendak kepada Allah. Tiap-Tiap yang wujud wajib berkehendak alam kepadanya wajiblah wujudnya, jadi Allah itu wajib wujudnya.

Isnin, 14 Mei 2012

NOTA PELAJARAN

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN AS-SAM'IYYAT 
( السمعيات )


Yang dimaksudkan dengan As-Sam'iyyat ialah apa-apa yang didengar oleh Rasulullah S.A.W dari Allah Ta'ala mengenai perkara-perkara yang ghaib adalah satu bahagian dari Ilmu Tauhid.

Apa-apa jua yang didengar oleh Rasulullah S.A.W melalui Malaikat Jibril sama ada berita-berita yang didengar itu pelik ia adalah datang dari Al- Quran.

Memang akal manusia mungkin tidak dapat menerima, tetapi sebagai orang yang beriman wajib percaya apa-apa jua berita yang sudah didengar oleh Rasulullah S.A.W adalah benar belaka.

Antara As-Sam'iyyat yang sudah didengar oleh Rasulullah S.A.W adalah seperti dibawah ini :

1- Mengenai roh dalam tubuh manusia.
2- Rupa Malaikat, Syaitan, Iblis dan Jin.
3- Mengenai azab dan nikmat dalam kubur.
4- Huru-hara hari akhirat yang sudah didengar oleh Rasulullah S.A.W.
5- Nikmat hidup dalam Syurga dan Neraka.

Orang-orang yang beriman mestilah beriman percaya dan beramal dengan apa yang tersebut didalam Al-Quran dan Hadith dan percaya perkara-perkara yang ghaib lebih lagi apa yand didengar oleh Rasulullah S.A.W sendiri. Maka sesiapa yang mengingkarinya sesuatu yang datang dari Allah dan Rasulullah S.A.W dengan bukti yang terang atau ia tidak menyakininya maka ia boleh menjadi kafir.

Firman Allah Ta'ala :-

وما اتاكم الرسول فخدوه , وما نهاكم عنه فانتهوا واتقوا الله , إن الله شديد العقاب - الحشر ٦

Ertinya : Dan apa jua suruhan yang datang dari Rasulullah S.A.W kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu meninggalkannya dan takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab seksanya.

Maka perkara-perkara As-Sam'iyyat yang dijadikan sebahagian dari kepercayaan Islam adalah semuanya tetap benar dengan adanya dalil dalam dari Al-Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W.

  1. Mengenai roh dalam tubuh manusia pada zaman permulaan Islam Nabi Muhammad S.A.W pernah ditanya mengenai roh, lalu dijawab oleh Allah dengan menurunkan ayat Al-Quran yang berbunyi :

    ويسألون عن الروح , قل الروح من أمر ربي ، وما أوتيتم من العلم إلا قليلا - الإسراء ٨٥

Ertinya : Mereka bertanya kepada kamu tentang roh, katakanlah kepada mereka bahawa roh itu adalah urusan Tuhan mu, dan apa-apa yand dikurniakan pengetahuan ilmu hanya sedikit sahaja yang mengetahui.

Ayat di atas jelas, tidak seorang pun mengetahui kedudukan roh ditubuh manusia walaupun pakar ahli doktor pun tidak mengetahui hanya mereka mengetahuinya sebab matinya seseorang itu disebabkan penyakit seperti kerosakan hati seseorang, jantung dan barah-barah penyakit.

Roh ini adalah urusal Allah semata-mata, Allah tidak membuka hakikat kejadian roh ini kepada sesiapapun walaupun kepada Nabi Muhammad S.A.W sendiri tidak mengetahuinya.
Hari ini ahli pakar sains ingin mengkaji terhadap roh tidaklah bertentangan dengan hukum Islam hanya harus sahaja, dan ada pula mengatakan haram.

Adapun golongan besar ulama Tauhid yang berpendapat bahawa tidak ada tegahan apa-apa untuk mengkaji dan menyiasat tentang perkara roh ini dengan tujuan kita dapat mengawal hakikat kekuasaan Allah dan segala pernuatannya dan apa yang diharap dengan kajian itu sedikit sebanyak dapat menambah keinsafan dan keimanan dan takut kepada Allah Ta'ala.

Rahsia sebab Allah Ta'ala tidak memberitahu kepada manusia perkara roh ditakuti manusia lekas lupa Tuhan dan sangka dia lebih pandai dari Allah Ta'ala akhirnya tidak ada Iman dan terkeluar dari Iman dan menjadi kafir.


2- Mengenai azab kubur dan nikmat kubur.

Apabila seseorang itu mati, maka rohnya telah terpisah dari tubuhnya, tetapi roh itu tetap kekal di alam barzakh (alam kubur) yang mana segala urusan roh-roh yang telah mati dan dibangkitkan kesaat hari akhirat kelak.

Rasulullah S.A.W mengetahui dan sudah melihat azab dan nikmatnya didalam kubur ketika Isra dan Mikraj.

Bahawa orang yang mati apabila sudah ditanam dalam tanah, kuasa Allah jua akan dihidupkan semula rohnya dan datanglah kedua Malaikat Munkar dan Nankir akan menyoal soalan-soalan mengenai Tauhid, walapun pada zahirnya mayat itu didalam kubur.

3- Mengenai Syaitan, Jin dan Iblis.

Ketiga-tiga jenis makhluk itu sudah Rasulullah S.A.W melihatnya serta tunduk kepada Rasulullah S.A.W dan ada pula dibaca oleh Rasulullah S.A.W mereka menjadi api dan ada pula menjadi baik serta mendengar Al-Quran.


Jumaat, 4 Mei 2012

BERLAKUNYA HARI AKHIRAT TIDAK BERTENTANGAN DENGAN LOGIK AKAL MANUSIA (2007)

  • Percaya kepada hari akhirat adalah termasuk salah satu rukun Iman.
  • Orang Islam yang beriman sudah tentu tiada keraguan mengenai hari akhirat.
  • Orang yang berakal, ahli fikir dan ahli falsafah juga percaya adanya hari akhirat.
  • Pertimbangan akal kita pun dapat mengikut dan menetapkan berlakunya hari akhirat.
  • Setiap yang hidup pasti akan mati, yang muda menjadi tua, yang kuat menjadi lemah.

Sebagai Contoh :-

1- Seseorang yang sudah berbuat baik di dunia ini dan telah mati akan juga mendapat balasan baiknya. Begitu juga ada orang yang suka melakukan kejahatan telah mati tanpa belum dibalas kejahatan oleh Allah diatas perbuatannya, maka akal yang luas akan menerima kenyataan yang mana balasan Allah ialah pada hari akhirat. Itulah hari penghabisan balasan Allah dan inilah logik bagi orang-orang yang beriman percaya bahawa Allah itu ada.

Manusia yang berakal logik sedia menerima apa-apa yang bermula di dunia akan berakhir jua.

Ahli Saintis teleh mengkaji dan membuktikan bahawa dunia ini ada permulaannya. Masa dan tempat ada permulaannya, jadi logik akal boleh menerima bahawa masa dan tempat termasuk dunia ini mesti berakhir dengan kehancuran apabila datangnya hari akhirat.

2- Nabi Isa Alaihissalam dilahirkan oleh ibunya tanpa ayah;

Bagaimana sesuatu yang tidak ikut logik dan diluar fahaman manusia boleh berlaku? Disinilah peranan dan pentingnya Iman seseorang kepada Allah Ta'ala.

3- Asal kejadian manusia dan bagaimana logik dan tak logiknya akal manusia menerimanya dan bagaimana terjadinya kandungan itu dalam perut ibu jika tidak ada pertemuan antara suami isteri. Tidak diterima oleh akal jika terjadi begitu sahaja.

4- Bagi manusia yang tidak percaya kepada Allah akan kebangkitan hari akhirat, akal mereka tidak akan menerimanya.

Firman Allah Ta'ala :
اوليس الدي خلق السموات والأرض بقادر على أن يخلق مثلهم بلى وهو الخلاق العليم (سورة يس 81

Ertinya : Tidakkah Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menjadikan semula manusia sebagaimana ia menciptakan mereka dahulu, Ya, dialah Allah pencipta yang tidak ada bandingannya lagi yang amat mengetahui.

Lihatlah keagungan Allah diduniia ini, tanyalah asal kejadian kamu dari mana dan dimana sahabat-sahabat, kaum kerabat yang kamu sayang dimana mereka itu masa ini semuanya sudah mati.

Mereka merasakan dirinya makhluk yang besar yang sukar untuk diciptakan dan dibangkitkan semula, padahal yang sebenarnya bumi dan makhluk dipermukaan bumi adalah milik Allah dan amat kecil disisi Allah, bahkan Allahlah yang menjadikan langit dan bumi dan isi kandungannya.



Firman Allah Ta'ala :
لخلق السموات والأرض أكبر من خلق الناس ولكن أكثر الناس لا يعلمون

Ertinya : Allah menciptakan langit dan bumi lebih besar dari menciptakan manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

Hanya akal manusia yang beriman dengan bekalan taqwa dapat menerima dengan akal yang terbuka dan berkata Allahlah yang berkuasa.

Isnin, 30 Januari 2012

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TASAWWUF 2011 (SOALAN 8) - (Berserta dengan jawapannya).

8) Menurut Ahli Tasawwuf untuk membuka hijab (dinding) yang membatasi diri dengan Allah Subhanahu Wata'ala, seseorang itu hendaklah terlebih dahulu membina peribadinya. Bincangkan.

JAWAPAN 

Menurut Ahli Tasawwuf untuk membina peribadi itu terdapat kepada empat cara iaitu :

i) Perbaikan Akhlak
Ahli Tasawwuf telah membuat satu sistem untuk memperbaiki akhlak yang dinamakan Takhalli, Tahalli dan Tajalli yang dipakai dalam riadah atau latihan berjuang untuk mensucikan diri dari segala sifat-sifat tercela dan menghiasi serta membina diri dengan sifat-sifat terpuji dalam rangka mencapai maqam yang lebih tinggi.

Takhalli ialah proses mengosonglan dan membersihkan diri dari sifat-sifat tercela dan melakukan maksiat. Tahalli pula menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji. Tajalli ialah memperolehi pancaran cahaya Illahi. Pada peringkat ini, tersingkaplah tabir rahsia dan jelaslah segala hakikat ketuhanan iaitu mukasyafah dam musyahadah.

Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa tujuan memperbaiki akhlak ialah untuk membersihkan hati dari kotoran-kotoran dan nafsu ammarah sehingga hati itu menjadi suci bersih bagaikan cermin yang dapat menerima cahaya Nur Allah Ta'ala. Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Hajr ayat 99 :
                                                                    واعبد ربك حتى يأتيك اليقين                                                    
"Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin."

ii) Sabar

Sabar ialah meninggalkan segala macam pekerjaan yang digerakkan oleh hawa nafsu, tetap pada pendirian agama yang mungkin bertentangan dengan kehendak hawa nafsu semati-mata menghendaki kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sifat sabar adalah merupakan perjuangan untuk menghadapi hawa nafsu untuk kembali kepada Tuhan. Ia hanya dapat dilaksanakan oleh orang-orang yang betul-betul tawadhu' kerana orang yang merendahkan diri itu ialah orang yang benar-benar mempunyai keyakinan yang kuat, niat yang ikhlas dalam mentaati perintah Allah dan rasulnya.

Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 45-46.

" Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; Iaitu mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya."

iii) Syukur
Untuk mencapai tingkat dalam perbaikan akhlak, kaum sufi mengajarkan sifat syukur. Syukur ialah berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat dan pemberiannya.

Orang yang tidak mahu bersyukur kepada Allah adalah orang yang lupa kepada pemberian Allah kepadanya. Dia merasa dirinya seolah-olah tidak perlu lagi dengan Allah dan berasa dirinya lebih besar dari Allah. Mereka ini akan mendapat azab yang amat pedih.

Ia adalah suatu sifat yang terpuji dan dipuji oleh Allah. Sebaliknya orang yang tidak mahu bersyukur (kufur) akan nikmat Allah, tidak disukai oleh Allah Ta'ala sebagaimana firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7.

"Dan (ingatlah) ketika tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."

Syukur itu terbahagi kepada tiga macam :

a) Syukur Qalbi (bersyukur dengan hati) iaitu mengetahui, mengakui dan meyakini bahawa segalanya adalah kurnia Allah.

b) Syukur Lisan (bersyukur dengan lidah) iaitu sentiasa memuji dan menyebut-nyebut nikmat yang diberikan.

c) Syukur Al-Jawarih (bersyukur dengan anggota badan) iaitu mempergunakan nikmat yang diberikan Allah kepada kebajikan.

iv) Redha

Redha mengeluarkan perasaan benci daripada hati takkala ditimpa bala bencana dan rela hatinya dan tidak marah menerima ujian Tuhan.

Redha maksudnya tengang menerima ujian dan segala yang telah ditakdirkan oleh Allah pada dirinya sendiri.

Orang yang memiliki sifat redha tidak bimbang atau kecewa atas pengorbanan yang dialaminya atau dirasainya ketika ia dalam kesusahan atau kesukaran. Tidak merasa menyesali kehidupan walaupun dalam kekurangan. Tidak iri dan dengki atas kelebihan orang lain.

Orang yang mempunyai sifat redha mempunyai pegangan yang kuat kepada hukum Allah dan keimanan yang teguh kepada Qada Qadar Allah ta'ala. Firman-Nya didalam hadis Qudsi :

Maksudnya : " Bahawa Allah berfirman Akulah Allah, tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah selain Aku, maka barangsiapa yang tidak sabar atas cubaanku, tidak bersyukur terhadap nikmatku, dan tidak rela terhadap keputusanku, hendaklah ia mencari Tuhan yang lain daripadaku,"

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TASAWWUF 2011 (SOALAN 7) - (Berserta dengan jawapannya).

7) Takhalli ialah membersihkan diri dari sifat-sifat tercela yang mengotori hati seperti maksiat zahir dan batir. Jelaskan maksud maksiat zahir dan batin dan bagaimana cara untuk membersihkannya.

JAWAPAN :

Suci / Bersih Dari Maksiat lahir bermaksud :

Mensucikan diri dari dosa lahir dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang oleh agama. Yang termasuk dalam maksiat lahir ialah :-

i) Maksiat Lidah, diantaranya :-
- Suka bohong, berkata kotor, mengumpat, menghina, membuat fitnah, memuji diri, memaki, mencaci, melaknat, berdebat mencari kebenaran sendiri, berlagu yang berisikan sesuatu yang haram, mengadu domba, membuka rahsia dan bertengkar sehingga menimbulkan permusuhan.

Untuk membersihkan ialah dengan memelihara lidah dengan mempergunakannya pada perkara-perkara yang berfaedah, seperti :-

- Memuji dan suka bersyukur kepada Allah.
- Berzikir dan membaca Al-Quran serta hadis-hadis Rasulullah S.A.W.
- Mengajak manusia ke jalan amal kebajikan.
- Dan sebagainya yang tidak menpergunakan lidah dalam perkara-perkara maksiat.

ii) Maksiat Mata, diantaranya :-

- Melihat lelaki atau perempuan dengan penglihatan yang membangkitkan hawa nafsu.
- Melihat aurat orang, kecuali isteri dan kanak-kanak yang belum mumayyiz.
- Melihat orang dengan hina.
- Melihat sesuatu yang diharamkan oleh Islam seperti melihat gambar-gambar yang kotor.

Untuk membersihkan maksiat mata ialah memelihara mata dari melihat pada perkara-perkara yang boleh menaikkan hawa nafsu dan maksiat, seperti :-

-Melihat pandangan yang baik.
- Rendahkan pandangan mata.
- Mengelakkan dari pandangan yang boleh mendatangkan dosa.

Gunakanlah mata pada melihat keindahan dan keajaiban alam ciptaan Allah, serta melihat ayat-ayat Al-Quran dan sebagainya yang boleh meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.

iii) Maksiat Perut, diantaranya :-

- Makan dan minum barang yang haram atau Syubhah.
- Terlalu banyak makan.
- Memakan harta hasil dari riba, harta rasuah, harta hasil curian, harta anak yatim, harta wakaf dan sebagainya hasil dapatan daripada yang haram.

Untuk membersihkan ialah memelihara perut dari memakan perkara-perkara yang haram serta syubhah, contohnya :-

- Memastikan kehalalan sebelum makan sesuatu makanan atau minuman.
- Jangan makan berlebihan sehingga boleh melemahkan badan dan otak dan membuat hati beku.

iv) Maksiat Telinga : Disebabkan suka mendengar perkara-perkara yang tidak elok, sia-sia serta melalaikan, lebih-lebih lagi yang boleh menaikkan hawa nafsu diantaranya :-

- Mendengar umpatan orang.
- Mendengar perkara yang sia-sia seperti lagu-lagu sehinggi melalaikan.
- Mendengar perkataan yang kotor sehingga menaikkan syahwat.

Untuk mengubati ialah dengan menggunakan telinga pada mendengar perkara-perkara yang boleh mendatangkan faedah dan pahala, seperti :-

- Mendengar nasihat agama.
- Mendengar Al-Quran, zikir-zikir.
- Mendengar perkara yang berfaedah dan bermanfaat, yang boleh menambahkan ilmu serta menambahkan keimanan kepada Allah.

v) Maksiat Kemaluan, diantaranya :-

- Melakukan perbuatan zina.
- Melakukan perbuatan liwat.
- Mengeluarkan air mani  dengan cara yang haram.

Untuk membersihkan maksiat ini ialah dengan memelihara kemaluan dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa dan penyaki, seperti :

- Jauhi zina dan onani.
- Jangan menghampiri tempat-tempat maksiat.
- Jangan mudah memegang perempuan yang halal bagi seseorang.
- Menjaga aurat atau kehormatan dari melihat sesuatu yang menimbulkan nafsu berahi.

iv) Maksiat Tangan : ialah mempergunakannya pada perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam atau perkara-perkara dosa dan maksiat, diantaranya :-

- Mencuri barang orang, memukul orang, mengurangi timbangan, merompak, merampas, membunuh tanpa hak, memberi atau menerima rasuah, bermain judi, membakar binatang, bermain alat-alat musik sehingga melalaikan beribadah, menyentuh wanita yang tidak halal, enggan membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan.

Untuk mengubati dan memelihara tangan ialah :

Hendaklah mempergunakan tangan dengan sebaik-baiknya kepada perkara-perkara yang diredai oleh Allah S.A.W, seperti :-

- Mengelakkan dari segala sentuhan yang haram baginya.
- Mengelakkan tangan dari memegang yang haram.
- Menggunakan tangan kepada mengangkat Al-Quran, buku-buku yang berfaedah dan menolong orarang yang memerlukan pertolongan.

vii) Maksiat Kaki : ialah mempergunakannya pada perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam atau perkara-perkara dosa dan maksiat, diantaranya :-

- Berjalan tempat yang haram dan maksiat.
- Suka tendang orang.
- Berjalan kepada orang yang suka membuat dosa.

Untuk mengubati dan memelihara kaki ialah mempergunakan kaki dengan sebaik-baiknya kepada perkara-perkara yang diredai oleh Allah S.A.W, seperti :

- Suka berjalan ketempat ibadah Masjid, Madrasah dan tempat yang aman dari dosa.
- Berjalan kepada jalan kebaikan dan kesihatan.


Suci / Bersih Dari Maksiat Batin 

Maksudnya : mensucikan diri daripada dosa batin dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Para ahli sufi berpendapat bahawa ada 7 ( لطائف ) tempat yang membuat manusia itu melakukan maksiat (dosa batin). Tujuh tempat tersebut ialah :-

i) Lathiful Qalbi ( لطيفة القلب ) . Letaknya dua jari di bawah susu kiri. Disinilah terletak sifat-sifat kemusrikan, kekafiran dan ketahyulan dan sifat-sifat iblis. Untuk mensucikan dosa batin ini mestilah membaca zikir ( الله )  sebanyaj 5,000 kali sehingga hati ini diisi dengan iman, islam, ihsan, tauhid dan ma'rifat.

ii) Lathifurruh ( لطيفة الروح ). Letaknya dua jari di bawah susu kanan. Disinilah terletak sifat-sifat Bahimiyiah ( binantang jinak ) iaitu sifat-sifat yang menurut hawa nafsu. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali.

iii) Latifatussir ( لطيفة السر ). Letaknya dua jari di atas susu kiri. Disinilah terletak sifat-sifat syabiyah (binatang buas) iaitu sifat zalim, pemarah dan pendendam. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali sehingga terisi sifat-sifat yang murni seperti kasih sayang, belas kasihan dan ramah.

iv) Lathifatul Khafi ( لطيفة الخفي ). Letaknya dua jari di atas sisi kanan dikenderai oleh limpa jasmani. Disinilah terletak sifat-sifat pendengki, Khianat dan sifat-sifat syaitaniyah yang membawa kecelakaan dan kebinasaan dunia dan akhirat. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali dengan suara yang agak kuat sehingga lahir sifat sabar dan syukur.

v) Lathifatul Akhfa ( لطيفة الأخفي ). Letaknya di tengah dada berhubung dengan empedu jasmani. Disinilah terletak sifat-sifat Rabbaniyah seperti takbur, ujub dan ria. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali sehingga terbasmi sifat-sifat yang buruk yang boleh merosakkan amalan baik manusia dan lahir sifat ikhlas, khusyuk dan tafakkur.

vi) Lathifatun Nafsin Natiqah ( لطيفة النفس الناطقة ). Letaknya di antara dua kening. Disinilah letaknya nafsu Ammarah. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali sehingga timbul ketenangan dan ketenteraman di pikiran dan hati serta hilang sifat-sifat yang menjadi penghalang untuk menciptakan perbaikan manusia.

vii) Latifah Kullu Jasad ( لطيفة كل الجسد ). Latifah yang mengendarai seluruh tubuh badan. Disinilah terletak sifat-sifat jahil dan lalai. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali sehingga tiada tempat di dalam tubuh akan sifat-sifat jahil dan lalai dan timbulnya pula sifat ilmu dan amal.