Catatan Popular

Jumaat, 23 Disember 2011

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TAUHID 2011 (SOALAN 4) - (Beserta dengan jawapannya sekali.)

4) Jelaskan dengan ringkas DUA daripada perkara-perkara berikut :

i) Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan dasar-dasar kepercayaan mereka.

ii) Sifat-sifat yang wajib bagi rasul Allah berserta dalil 'aqli dan naqli.

iii) Pengertian Nifaq, Riddah, Syirik, Kufur dan Fasiq.


JAWAPAN


i) Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan dasar-dasar kepercayaan mereka.

Ahlus Sunnah bererti : Kepercayaan yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. di dalam urusan agama.

Adapun Wal Jamaah bererti : Iaitu sahabar-sahabat nabi yang bersama-sama berjuang dan membantu dalam hal urusan agama, mereka sentiasa berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah S.A.W.

Bagi mereka yang kemudian dari peringkat ini yang mengikuti perjalanan sahabat-sahabat nabi iaitu dengan berpegang teguh dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W adalah dinamakan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kemudian jika mereka tidak dapat keterangan daripada Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W, maka mereka berpegang dengan hukum-hukum yang telah dipersetujui oleh sahabat-sahabat nabi.

Yang dimaksudkan dengan nama Ahlus Sunnah Wal Jamaah pada masa sekarang ini ialah pengikut-pengikut Al-Imam Abu Hassan Al-Ash'ari dan pengikut-pengikut Al-Imam Abu Mansor Al-Maturidi. Kepercayaan Ahlus Sunnah, bererti semuanya diambil dari perbuatan sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W dan ikutan kebanyakan dari jumlah yang besar daripada umat Islam di dalam dunia yang ada sekarang ini.

Sumber-sumber hukum dari Ahlus Sunnah Wal-Jamaah

1) Al-Quran
2) Hadith Rasulullah S.A.W.
3) Menerima Ijmak
4) menerima Qias

Kenyataan Ahlus Sunnah itu cukup terang, mereka tetap berpegang dengan hukum Al-Quran dan hukum hadith Rasulullah S.A.W dan menerima ijmak dan qias sebagai hukum di dalam syariat agama Islam.

Diantara dasar-dasar Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah :-

1- Percaya adanya Allah Ta'ala yang berkuasa dengan segalanya.
2- Tuhan mempunyai sifat-sifat yang sempurna, wajib diketahui oleh orang mukmin sebanyak 20 sifat, dan yang mustahil dan yang harus bagi Allah.
3- Wajib percaya adanya Malaikat, hanya yang wajib dipercaya ialah sebanyak 10 malaikat.
4- Wajib percaya Tuhan mempunyai nama-nama sebanyak 99 nama-nama Asma'ullah hul Husna.
5- Wajib percaya Allah menurunkan empat buah kitab : Al-Quran - Zabur - Injil - Taurat
6- Wajib percaya kepada rasul-rasul dan nabi-nabi. Yang 25 orang ini adalah Nabi dan juga Rasul.
7- Setiap orang Islam wajib percaya hari akhirat dan setiap orang akan ditunjukkan kejadian di padang Masyar seperti hisab (amalan-amalan baik dan jahat). Ada telaga kausar dan ada titian Siratul Mustaqim.
8- Wajib percaya adanya Qadha dan Qadar sama ada baik atau jahat adalah datangnya dari Allah, semuanya sudah tertulis di dalam azal di Lauh Mahfuz akan apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku keatas manusia itu.
9- Sahabat-sahabat dan khalifah-khalifah Rasulullah yang lebih utama mengikut tertib dan susunan ialah:
a) Khalifah Saiyidina Abd Bakar
b) Khalifah Saiyidina Umar
c) Khalifah Saiyidina Uthman
d) Khalifah Saiyidina Ali bin Abi Talib.
10- Anak-anak orang kafir, kalau mati kecil, akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.

*** (Calon hanya perlu menjawab 4 sahaja)


ii) Sifat-sifat yang wajib bagi rasul Allah berserta dalil aqli atau naqli.

Sifat yang wajib dan mustahil bagi rasul ada 4 : -

Amanah :

Terpelihara zahir dan batinnya dari melakukan sebarang maksiat atau perbuatan yang ditegah oleh Allah Ta'ala seperti zina, minum arak, bersifat ria dan sebagainya.

Dalil aqli : Jikalau rasul-rasul bersifat khianat (melakukan maksiat), tentulah pengikut mereka disuruh oleh Allah melakukan maksiat sebagaimana yang dilakukan oleh rasul-rasul tersebut, kerana pengikut itu diperintahkan mengikut rasul-rasul dalam semua hal, sedangkan Allah tidak sekali-kali menyuruh manusia melakukan perkara maksiat.

atau

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-A'raaf ayat 28:
                                                                قل إن الله لا يأمر بالفحشاء
Ertinya : Katakanlah (Muhammad), Sesungguhnya Allah tidak menyuruh perbuatan-perbuatan keji."


Siddek (Benar) lawan dusta :

Bersamaan berita dengan kejadian yang sebenar berlaku dan mustahil bersifat dusta.

Dalil aqli : Jikalau nabi-nabi berdusta pada cerita-cerita yang disampaikan dari Allah nescaya dustalah perakuan Allah S.W.T. sendiri, kerana rasul-rasul itu telah diperakui kebenarannya oleh Allah menerusi berbagai mukjizat.

atau

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-Haaqah ayat 44-47 :-

Ertinya : " Dan jikalau Nabi Muhammad itu mengatakan sesuatu perkataan yang tidak kami katakannya nescaya kami binasakan dengan cara yang seburuk-buruknya tanpa ada sesiapa pun dari kamu yang boleh melindungkannya."


Fathaanah (bijaksana).

Tiap-tiap rasul adalah bijaksanam tajam fikiran, cepat faham dan kuat ingatan. Dengan ini dapat mematahkan hujah-hujah lawannya yang mencabar dan berdegil terhadap seruannya. Sifat-sifat ini juga memudahkan rasul-rasul memberi penerangan jelas mengenai perutusan yang hendak disampaikannya.

Dalil aqli : Rasul-rasul diutus untuk menerangkan syariat Allah dan menghilangkan kekeliruan dengan hujah-hujah yang memuaskan hati. Kalau sekiranya mereka bodoh maka hilanglah faedah perutusan mereka kepada umat manusia.

atau

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-An'aam atat 83.
                                                              وتلك حجتنا ءاتينها إبرهيم على قومه
Ertinya : Dan itulah hujah kami yang telah kami anugerahkan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya."


Tabligh (Menyampai) :

Menyampaikan semua perkara yang diperintah oleh Allah S.W.T. supaya disampaikan kepada umatnya, dan mustahil bagi rasul bersifat menyembunyikan sesuatu (tidak menyampaikan) apa yang telah diperintahkan Allah kepada manusia.

Dalil aqli : Kalau rasul-rasul menyembunyikan sesuatu yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia nescaya kita jua diperintahkan untuk menyembunyikan ilmu, kerana Allah memerintahkan kita mentauladani rasul-rasul, ini tidaklah benar.

atau 

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-Ma'idah ayat 99 :
                                                وما على الرسول إلا البلغ والله يعلم ما تبدون وما تكتمون
Ertinya : Kewajipan rasul tidak lain hanyalah menyampaikan, dan Allah mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan."


iii) Pengertian Nifaq, Riddah, Syirik, Kufur dan Fasiq.

Nifaq ialah :

Secara zahir kelihatan seperti orang berugama Islam, tetapi batinnya tidak beriman dan tidak percaya pada hukum Allah Ta'ala dan rasul-Nya. Asal makna nifaq ialah menampilkan yang baik sedang hatinya tidak begitu.

Firman Allah Ta'ala :
                                                                  يقولون بألسنتهم ماليس في قلوبهم
Ertinya : Mereka berkata dengan lidah mereka, tetapi yang sebenarnya tidak ada di dalam hati mereka.

Riddah ialah :

Keluar dari agama Islam sebab ingkar pada hukum Allah dan hukum Rasulullah S.A.W dan mengikut kepercayaan yang lain dari ajaran Allah (agama Islam) dan perbuatan dan kelakuan serta perkataan bertentangan dengan hukum agama Islam.

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 217 :
Ertinya : Dan sesiapa yang menjadi murtad dikalangan kamu dari agamanya, maka dia mati kafir, maka binasalah segala amalannya di dalam dunia dan akhirat.

Syirik ialah :

Percaya tuhan itu lebih dari satu dan menyekutukan Allah dengan sesuatu, seperti katanya : Allah ada anak, ada kuasa lain yang lebih kuat dari Allah.

Firman Allah Ta'ala dalam surah An-Nisaa ayat 48 :
Ertinya : Sesunguhnya Allah tidak mengampuni orang yang syirik dengannya, dan mengampuni selain dari itu mereka yang dia kehendaki.

Kufur ialah :

Ingkar dan tidak mahu menerima kebenaran (Ajaran Islam). Sebab itu orang yang tidak percaya akan ajaran Islam dipanggil orang kafir. Kufur dengan erti kata lain ialah orang Islam yang tidak bersyukur kepada Allah, lupa pemberian Allah, lupa nikmat Allah, maka dinamakan kufur nikmat (kufur kecil).

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Imran ayat 131 :
                                                                      والتقوا النار التي أعدت للكفرين
Ertinya : Dan takutlah kepada api neraka yang mana disediakan untuk orang-orang kafir.

Fasiq ialah :

Orang yang keluar daripada jalan kebenaran dan tidak memperdulikan segala perintah Allah S.A.W. Mereka menyelesaikan masalah bukan menurut aturan Islam tetapi mengikut kehendak hawa nafsu.

Orang yang fasiq ini, Tuhan tidak menyukai kelakuannya dan Tuhan tidak memberi petunjuk kepada dirinya untuk jalan kebaikan.

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Maidah ayat 108 :
                                                                والله لا يهدي القوم الفسقين
Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasiq.

Khamis, 22 Disember 2011

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TAUHID 2011 (SOALAN 3) - (Beserta dengan jawapannya sekali.)

3) Diantara tanda-tanda besar akan berlakunya Qiamat ialah keluarnya Dajjal.

Bincangkan pendapat ulama Tauhid tentang pengertian Dajjal, Siffat-sifatnya, tempat keluarnya, pengikut-pengikutnya, fitnahnya dan kebinasaannya.


JAWAPANNYA


Dajjal ini dinamakan "Dajjal" kerana ia menutupi kebenaran dengan kebatilan, atau kerana ia menutupi kekafirannya terhadap orang lain dengan kebohongan, kepalsuan dan penipuannya atas mereka. Dajjal mengakui dirinya Tuhan dan ia berusaha melemparkan bermacam-macam fitnah dan mempengaruhi manusia agar meninggalkan agama Islam.

Sifat-sifat Dajjal :

Antaranya :

- Buta mata sebelah, seolah-olah buah anggur masak (tak bercahaya).
Dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah S.AW. pernah menyebut mengenai Dajjal dihadapan orang banyak, lalu baginda bersabda :
" Sesungguhnya Allah S.A.T. itu tidak buta sebelah matanya. Ketahuilah, sesungguhnya Al-Masih Ad-Dajjal itu buta sebelah matanya yang kanan seakan-akan matanya itu buah anggur yangtersembul."

- Seorang laki-laki yang pendek dan gemuk, menurut hadis yang diriwayatkan dari Ubadah bin Ash Shamit r.a. Rasulullah S.A.W. bersabda :-
" Sesungguhnya Masih Dajjal itu seorang lelaki yang pendek dan gemuk, berambut kribo, buta sebelah matanya an matanya tidak menonjol serta tidak tenggelam. Jika ia memperdayakan kamu, maka ketahuilah bahawa Rabbmu tidak buta sebelah matanya."

- Ada tanda perkataan "KAFIR" diantara kedua matanya, seperti hadis Anas r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda : " Dan diantara kedua matanya termaktub tulisan " كفر "(kafir).

- Tidak mempunyai anak (mandul) .

Tempat keluarnya Dajjal :

Dajjal akan keluar dari arah timur dari Khurasan, dari kampong Yahudiyyah Kota Ashbahan. Kemudian mengembara ke seluruh bumi. Maka tiada ada satu pun negeri yang tidak dimasukinya kecuali Mekah dan Madinah, kerana kedua kota suci ini dijaga oleh Malaikat.

Diriwayatkan dari Abu Bakar As-Siddiq r.a. ia berkata : Rasulullah S.A.W. bersadba kepada kami : " Dajjal akan keluar dari bumi ini di bahagian timur yang bernama Khurasan "

Pengikut-Pengikut Dajjal :

Kebanyakkan pengikut Dajjal adalah orang-orang Yahudi, orang Ajam, orang Turki dan ramai lagi manusia dari pelbagai bangsa dan golongan yang kebanyakan dari orang-orang dan kaum wanita.

Imam Muslim meriwatkan dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
"Dajjal akan diikuti oleh orang-orang Yahudi Asbahan sebanyak tujuh puluh ribu orang yang mengenakan jubah tiada berjahit."

Atau

Kebanyakkan pengikut Dajjal adalah orang-orang Yahudi sesuai dengan hadis Rasulullah S.A.W yang menyatakan bahawa akan berlaku peperangan antara orang Yahudi dan kaum Muslimin. Sabda Rasulullah S.A.W :
" Tidak akan berlaku hari Akhirat sehingga orang Islam semuanya memerangi orang Yahudi, sehingga batu yang dibelakangnya ada orang Yahudi bersembunyi itu pun berkata : Hai orang Islam, ini ada orang Yahudi bunuhlah dia."

Rasulullah S.A.W. telah memberitahu dan mengambarkan kejadian jahatnya dajjal dan jahatnya orang Yahudi. Orang Islam yang kuat iman tetap memerangi dajjal dan orang Yahudi tetap membela dajjal. Akhirnya orang Islam akan mendapat kemenangan dalam peperangan melawan orang Yahudi yang sesat dan menyesatkan manusia ketika itu.

Fitnah Dajjal : 

Fitnah Dajjal merupakan fitnah paling besar. Dalam riwayat-riwayat disebutkan bahawa Dajjal memiliki syurga dan neraka, maka syurganya itu adalah neraka dan nerakanya adalah syurga. Dia jua memiliki sungai-sungai air dan gunung-gunung roti. Dia memerintahkan langit untuk menurunkan hujan lantas langit pun menurunkan hujan, memerintahkan bumi untuk menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, lantas bumi menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dengan segala hasilnya. Dia dapat melintasi bumi dari satu tempat ke tempat lain dengan kecepatan yang luar biasa, bagaikan hujan yang ditiup angin kencang, serta kejadian luar biasa lainnya.

Rasulullah S.A.W. "Dajjal itu buta maanya sebelah kiri, berambut keriting, mempunyai syurga dan neraka, Maka nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka." riwayat Imam Muslim.

Riwayat Imam Muslim dari Hudzaifah r.a. ia berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya aku lebih mengetahui apa yang menyertai Dajjal. Ia akan bersama dua buah sungai yang mengalir, yang satu kelihatan mengalir api yang menyala-nyala, maka hendaklah ia mendatangi sungai-sungai yang kelihatan berisi api itu, dan hendaklah ia pejamkan matanya kerana yang nampak api itu adalah air yang dingin."

Nasiblah jika kuat iman seseorang ketika itu maka segala yang ganjil dilihatkan oleh dajjal tidak terpengaruh sama sekali, sebaliknya jika lemah iman seseorang ketika itu maka mudahlah terima dan terikut perjalanan dajjal. Ingatlah bahawa dajjal sebenarnya ialah penipu dan pendusta dan pembohong makhluk Allah diakhir zaman.

Binasanya Dajjal :

Binasanya Dajjal ada ditangan Nabi Isa A.S. sebagaimana disebutkan dalam hadis sahih antaranya Imam Ahmad dan Imam Tirmidzi meriwayatkan dari Mujama' bin Jariyah Al-Anshari r.a, ia berkata : Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : "Ibnu Maryam akan membunuh Dajjal di pintu Lod."

Rabu, 21 Disember 2011

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TAUHID 2011 (SOALAN 2) - (Beserta dengan jawapannya sekali.)

2) Mu'jizat hanya dianugerahkan kepada para nabi dan rasul.

i) Jelaskan pengertian mu'jizat dan TIGA hikmat penganugerahannya kepada mereka.

ii) Nyatakan DUA contoh mu'jizat yang dianugerahkan kepada setiap rasul Ulul 'Azmi.


JAWAPAN

i) Pengertian mu'jizat menurut bahasa : sesuatu yang melemahkan.
 
Menurut Istilah : kejadian-kejadian luar biasa yang menyalahi adat yang dizahirkan oleh Allah ta'ala atas tangan seseorang yang mengaku dirinya nabi ketika dia dicabar oleh lain-lain orang yang mengingkarinnya, dan dengan cara ini dia melemahkan pihak pencabar dari berbuat sepertinya.

ATAU

Menurut Istilah : iaitu kejadian-kejadian yang luar biasa menyalahi adat untuk menguatkan kebenaran seseorang nabi atau rasul, dengan panduan dan mengikut keizinan Allah dan dapat melemahkan musuh yang mengingkari Allah Ta'ala.

Hikmat penganugerahannya kepada Rasul-rasul :
i) Membuktikan bahawa mereka adalah sebenar-benarnya rasul dan nabi Allah.
ii) Mengatasi dan mengalahkan kekuatan umat masing-masing.
iii) Melahirkan kekuasaan Allah yang ia boleh melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya yang mutlak.


ii) Mu'jizat-mu'jizat yang dianugerahkan kepada rasul-rasul Ulul 'Azmi.

i) Mu'jizat Nabi Nuh Alaihisalam :

a) Dapat menyembuhkan berbagai penyakit.
b) Selamat dari banjir besar dengan menaiki bahtera sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah sementara yang lain hancur musnah.

ii) Mu'jizat Nabi Ibrahim Alaihisalam :

a) Tidak hangus ketika dibakar dalam timbunan api yang besar setelah baginda dicampakkan oleh raja Namruz yang kejam kerana baginda menentang ibadat Namruz dan pengikut-pengikutnya. Firman Allah ayat 68-69 Al-Anbiya.
b) Menghidupkan dari Kematian.

iii) Mu'jizat Nabi Musa Alaihisalam :

a) Tongkatnya menjadi ular yang besar ketika Firaun mengumpulkan ahli sihir yang bijak dalam negerinya untuk melawan Nabi Musa seperti firman Allah Ta'ala dalam surah Al-A'raaf ayat 106-122.
b) Terbelah dua laut merah bila diperintah memukul dengan tongkatnya iaitu semasa dikejar oleh bala tentera Firaun, maka Musa bersama kaumnya Bani Israel berjaya melarikan dirinya dengan selamat, manakala Firaun dan pengikutnya terperangkap dalam laut yang bercantum kembali, ketika mereka mengejar Nabi Musa di belakangnya seperti firman Allah Ta'ala dam surah Al- Syu'araa ayat 63.

iv) Mu'jizat Nabi Isa Alaihisalam :

a) Baginda dapat menyembuhkan orang buta, penyakit sopak, menghidupkan orang mati dan membentuk lembaga burung dari tanah kemudian ditiup lalu menjadi burung yang terbang seperti firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Imran surah 49.
b) Tutunnya makanan dari langit kerana permintaan Hawariyin sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran surah Al-Maidah 112-115.

v) Mu'jizat Nabi Muhammad Salallahu Alaihiwasalam :

a) Al-Quran Al-Karim. Mu'jizat yang terbesar sekali merangkumi mu'jizat-mu'jizat nabi-nabi yang terdahulu. Ia masih wujud dan akan kekal sehingga ahir dunia nanti. Firman Allah Ta'ala ayat 9 surah Al-Hijr.
b) Kisah Isra dan Mi'raj yang berlaku kepada baginda dalam masa hampir separuh malam sahaja.

Ahad, 18 Disember 2011

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TAUHID 2011 (SOALAN NO 1) ~ (Beserta dengan jawapannya sekali)

BAHAGIAN A - TAUHID

1- Wahdaniah bererti esa Allah Subhanahu Wata'ala pada zat, sifat dan perbuatan. Huraikan beserta dalil.

JAWAPAN

Maha Esa Allah pada zatnya terbahagi kepada dua maksud; Pertama : Zat Allah tidak terbentuk daripada beberapa bahagian seperti manusia. Kedua : Tiada zat lain yang menyamai zat Allah Ta'ala.

                                                                    سبحنه  هو الله الوحد القهار   ٤ 

Maksudnya : " Maha Sucilah ia (dari menghendaki yang demekian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi yang mengatasi kekuasaannya segala-galanya."

Maha Esa Allah pada sifatnya, terbahagi kepada dua maksud; Pertama; sifat Allah tidak berbilang-bilang dari jenis yang sama pada Allah, seperti ada dua sifat Qudrah bagi Allah atau Qudrat itu berbeza dari masa kesemasa. Kedua; tidak ada seorang pin menyerupai sifatnya dengan sifat Allah.

Maha Esa Allah pada af'alnya iaitu pada perbuatannya. Allah mengadakan atau mentiadakan sesuatu itu dengan sendirinya. Tiada yang menyamai perbuatan Allah. Dialah yang melakukan dan merekabentuknya dengan sendiri-Nya.

Dalil Naqli thabitnya Allah bersifat dengan Wahdaniyah

                                                                      لو كان فيهما ءايه إلا الله لفسدتا 

Maksudnya : Sekiranya di langit dan di bumi itu ada Tuhan selain Allah nescaya binasalah keduanya.

Dalil Aqli :

i) Jikalau ada dua Tuhan yang kedua-duanya bersifat wajib wujud dan qudrat, iradahnya menyeluruh kepada kesemua manusia, nescaya tidak wujud alam ini, kerana sikap dan akibat yang boleh diandaikan seperti berikut :- 

- Pertama : Kedua-dua tuhan itu tidak sepakat.

- Kedua : Jika pun sepakat maka tidak mungkin kedua-duanya sama-sama mengadakan alam ini dengan bersendirian di waktu yang sama, kerana menyebabkan terhimpunnya dua pembuat di atas kesan yang sama dan ini adalah mustahil. Jikapun mengada secara tertib, misalnya A mengadakan dulu kemudian B, maka ini dikatakan sia-sia kerana mengadakan sesuatu yang telah ada. Begitu juga tidak mungkin sama-sama mengadakan sesuatu secara tolong-menolong kerana ini menunjukkan kedua-duanya lemah dan berhajat diantara satu sama lain.

ii) Jika Allah tidak bersifat dengan wahdaniyyah (Esa) nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu berbilang-bilang, sama ada pada zat-Nya, sifat atau af'al-Nya. Jika ia berbilang-bilang menunjukkan bahawa ia lemah kerana berhajar kepada yang lain. Mustahil Allah bersifat lemah kerana jika ia bersifat demikian, maka tiada alam ini. Tetapi alam ini ada menunjukkan bahawa penciptanya tidak bersifat lemah. Maka mustahil Allah bersifat berbilang-bilang dan thabitlah Allah itu bersifat Esa (Tunggal).