Catatan Popular

Sabtu, 5 Mac 2016

SOALAN JAWAPAN : USULUDDIN 1 ) TAUHID / TASAWWUF (PAST YEAR PAPER 2012)


BAHAGIAN A) TAUHID


1) Jelaskan pendapat Ahli Sunnah mengenai maksud mengucap Dua Kalimah Syahadat dan mengerjakan amal ibadat serta hubungan keduanya dengan iman.


Maksud Dua Kalimah Syahadat dan mengerjakan amal ibadat

Mengucap Dua Kalimah Syahadat ialah mengaku dan berikrar bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Mengerjakan amal ibadat ialah menunaikan kewajipan-kewajipan agama dan meninggalkan larangan-larangannya.


Hubungan Keduanya dengan Iman

Menurut pendapat Ahli Sunnah mengucap Dua Kalimah Syahadat tidak termasuk dalam hakikat iman tetapi ia hanya merupakan satu syarat untuk dijalankan hukum-hukum agama di dunia sahaja seperti syarat bagi orang kafir yang hendak memeluk agama Islam. Mengucap Dua Kalimah Syahadat juga merupakan tanda seseorang itu adalah orang Islam supaya dapat diperlakukan sebagai seorang Islam, seperti dijadikan imam sembahyang.

Golongan ini berpendapat bahawa keyakinan dan pengakuan iman itu adalah perkara yang tidak dapat dilihat oleh manusia selain daripada Allah.

Ahli Sunnah jua berpendapat orang yang menerima Islam dengan hati yang patuh, tetapi tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat tanpa sebarang keuzuran maka hukumnya mukmin disisi Allah tetapi Islam disisi masyarakat umpama seorang munafiq.

Ini berdasarkan dalil firman Allah Taa'ala mengenai orang munafiq dalam Surah Hujaraat ayat 14, mafhumnya : -

"Orang Badawi itu telah berkata : Kami telah beriman. Katakanlah kepada mereka : Kamu belum beriman, tetapi katakanlah : Kami telah menganut Islam dan iman belum lagi masuk ke dalam hati kami."

Mengerjakan amalan pula adalah merupakan syarat bagi orang-orang yang beriman untuk kesempurnaan imannya. Sesiapa yang tidak mengerjakan amal ibadat yang diperintahkan oleh Allah ia masih dianggap mukmin tetapi tidak sempurna imannya dan disifatkan sebagai orang yang durhaka. Tetapi jika ia ingkar akan wajib dan haramnya seperti mengatakan arak itu halal, maka hukumnya kafir.



ii) Ulama Mutakallimin berselisih pendapat mengenai bertambah dan berkurangnya iman. Nyatakan pendapat Imam Asy'ari mengenai dengan memberikan DUA dalil akal dan DUA dalil syarak bagi menyokong pendapat tersebut.

Imam Asy'ari berpendapat bahawa Iman bertambah dengan bertambahnya amal yang baik dan berkurangnya Iman dengan kurangnya amal baik.

Dalil Akal, antaranya :

1) Kebenaran dan keyakinan hati boleh bertambah dan berkurang dengan banyak timbang dan celik akal yang mendalam dan keterangan dalil diperolehinya dan berkurang dengan ketiadaan keduanya.

2) Kepercayaan yang timbul dari satu dalil tentulah tidak sama kuatnya dengan yang timbul dari dalil yang banyak, begitu juga kepercayaan yang timbul dari dalil yang ringkas tidak sama dengan kepercayaan yang timbul dari dalil satu persatu yang boleh menolak segala kekeliruan.

3) Iman yang sentiasa bertambah terus tidak ada kurang hanya iman nabi-nabi.

4) Jika iman tidak bertambah dan berkurang, tentulah iman orang biasa dengan iman nabi-nabi adalah sama sahaja. Ini adalah mustahil.


Dalil Naqli, antaranya :

1) Iman orang yang bertaklid tentulah tidak sama dengan iman orang yang betul-betul mengenali Allah, seperti firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 2 "Apabila dibacakan kepada mereka ayat Allah nescaya bertambahlah iman mereka". Ini menunjukkan iman boleh berubah.

2) Rasululllah pernah bersabda "Kalau ditimbang Iman Abu Bakar dengan Iman semua umat Islam, lebih berat Iman Abu Bakar".

3) Ibnu Umar r.a pernah bertanya kepada Rasulullah "Adakah iman itu boleh bertambah dan berkurang?" Jawab Rasulullah s.a.w.. "Ya !! Iman boleh bertambah hingga melayakkan tuannya memasuki syurga dan boleh berkurang menyebabkan tuannya masuk neraka".




2) Ulama Mutakalimin telah membahagikan sifat-sifat wajib bagi Allah Ta'ala kepada EMPAT bahagian iaitu Sifat Nafsiah, Salbiah, Ma'ani dan Ma'nawiah.

i) Tuliskan secara ringkas mengenai sifat Nafsiah bagi Allah Ta'ala serta dalil.

Sifat Nafsiah bagi Allah Ta'ala ada satu iaitu wujud (ada). Mustahil Allah bersifat tiada. Wujud bagi Allah ialah wujud zati, iaitu adanya Allah kerana zatNya, wujudnya Allah Ta'ala tidaklah dengan perantaraan sesuatu pun di luar zatNya, tidaklah sebagaimana adanya manusia iaitu manusia menggunakan perantaraan ibu dan bapa untuk wujud, sebaliknya wujud Allah tidak seperti manusia, hanya Allah Ta'ala sahaja Yang Maha Mengetahui.

Dalil Naqli menunjukkan adanya Allah Ta'ala dalam surah Az-Zumar ayat 4 "-

Dan Firman Allah Ta'ala dalam surah Az-Zumar ayat 5 ertinya :

" Telah menjadikan (Allah) tujuh lapisan langin dan bumi dengan kebenarannya".

atau

Dalil akal adanya Allah Ta'ala

Adanya alam ini yang berubah setiap masa dan waktu seperti matahari, bulan, bintang, kematian adanya binatang dan manusia, gunung-ganang, siang dan malam dan kejadian-kejadiannya yang sempurna, membuktikan dengan nyata adanya pencipta iaitu Allah Ta'ala. Dengan bukti kejadian itu akal menerima dan berkata : Mesti ada yang menjadikan dan mengadakan seluruh alam ini, tidak lain hanya pencipta yang sempurna dan berkuasa iaitu Allah Ta'ala.

Kejadian Alam yang sempurna adalah Dalil nyata wujudnya Allah Ta'ala.

Apabila kita pandang kepada kejadian manusia dan seluruh alam ini, maka kita dapati tiap-tiap satunya telah dijadikan cukup lengkap, elok, teratur dan sempurna. Ternyatalah sesungguhnya yang menjadikan semua ini tentulah pencipta yang mempunyai kuasa yang sempurna dengan sifat kesempurnaan yang mana suci dan tidak serupa dengan makhluk.

Dan Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-A'raaf ayat 54 ertinya :

"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi."

Dan lagi dalil Aqal : Alam dan setiap bahagiannya wajib berkehendak kepada Allah. Tiap-Tiap yang wujud wajib berkehendak alam kepadanya wajiblah wujudnya, jadi Allah itu wajib wujudnya.

Isnin, 14 Mei 2012

NOTA PELAJARAN

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN AS-SAM'IYYAT 
( السمعيات )


Yang dimaksudkan dengan As-Sam'iyyat ialah apa-apa yang didengar oleh Rasulullah S.A.W dari Allah Ta'ala mengenai perkara-perkara yang ghaib adalah satu bahagian dari Ilmu Tauhid.

Apa-apa jua yang didengar oleh Rasulullah S.A.W melalui Malaikat Jibril sama ada berita-berita yang didengar itu pelik ia adalah datang dari Al- Quran.

Memang akal manusia mungkin tidak dapat menerima, tetapi sebagai orang yang beriman wajib percaya apa-apa jua berita yang sudah didengar oleh Rasulullah S.A.W adalah benar belaka.

Antara As-Sam'iyyat yang sudah didengar oleh Rasulullah S.A.W adalah seperti dibawah ini :

1- Mengenai roh dalam tubuh manusia.
2- Rupa Malaikat, Syaitan, Iblis dan Jin.
3- Mengenai azab dan nikmat dalam kubur.
4- Huru-hara hari akhirat yang sudah didengar oleh Rasulullah S.A.W.
5- Nikmat hidup dalam Syurga dan Neraka.

Orang-orang yang beriman mestilah beriman percaya dan beramal dengan apa yang tersebut didalam Al-Quran dan Hadith dan percaya perkara-perkara yang ghaib lebih lagi apa yand didengar oleh Rasulullah S.A.W sendiri. Maka sesiapa yang mengingkarinya sesuatu yang datang dari Allah dan Rasulullah S.A.W dengan bukti yang terang atau ia tidak menyakininya maka ia boleh menjadi kafir.

Firman Allah Ta'ala :-

وما اتاكم الرسول فخدوه , وما نهاكم عنه فانتهوا واتقوا الله , إن الله شديد العقاب - الحشر ٦

Ertinya : Dan apa jua suruhan yang datang dari Rasulullah S.A.W kepada kamu, maka ambillah akan dia serta amalkan, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya, maka hendaklah kamu meninggalkannya dan takutlah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab seksanya.

Maka perkara-perkara As-Sam'iyyat yang dijadikan sebahagian dari kepercayaan Islam adalah semuanya tetap benar dengan adanya dalil dalam dari Al-Quran dan Hadith Rasulullah S.A.W.

  1. Mengenai roh dalam tubuh manusia pada zaman permulaan Islam Nabi Muhammad S.A.W pernah ditanya mengenai roh, lalu dijawab oleh Allah dengan menurunkan ayat Al-Quran yang berbunyi :

    ويسألون عن الروح , قل الروح من أمر ربي ، وما أوتيتم من العلم إلا قليلا - الإسراء ٨٥

Ertinya : Mereka bertanya kepada kamu tentang roh, katakanlah kepada mereka bahawa roh itu adalah urusan Tuhan mu, dan apa-apa yand dikurniakan pengetahuan ilmu hanya sedikit sahaja yang mengetahui.

Ayat di atas jelas, tidak seorang pun mengetahui kedudukan roh ditubuh manusia walaupun pakar ahli doktor pun tidak mengetahui hanya mereka mengetahuinya sebab matinya seseorang itu disebabkan penyakit seperti kerosakan hati seseorang, jantung dan barah-barah penyakit.

Roh ini adalah urusal Allah semata-mata, Allah tidak membuka hakikat kejadian roh ini kepada sesiapapun walaupun kepada Nabi Muhammad S.A.W sendiri tidak mengetahuinya.
Hari ini ahli pakar sains ingin mengkaji terhadap roh tidaklah bertentangan dengan hukum Islam hanya harus sahaja, dan ada pula mengatakan haram.

Adapun golongan besar ulama Tauhid yang berpendapat bahawa tidak ada tegahan apa-apa untuk mengkaji dan menyiasat tentang perkara roh ini dengan tujuan kita dapat mengawal hakikat kekuasaan Allah dan segala pernuatannya dan apa yang diharap dengan kajian itu sedikit sebanyak dapat menambah keinsafan dan keimanan dan takut kepada Allah Ta'ala.

Rahsia sebab Allah Ta'ala tidak memberitahu kepada manusia perkara roh ditakuti manusia lekas lupa Tuhan dan sangka dia lebih pandai dari Allah Ta'ala akhirnya tidak ada Iman dan terkeluar dari Iman dan menjadi kafir.


2- Mengenai azab kubur dan nikmat kubur.

Apabila seseorang itu mati, maka rohnya telah terpisah dari tubuhnya, tetapi roh itu tetap kekal di alam barzakh (alam kubur) yang mana segala urusan roh-roh yang telah mati dan dibangkitkan kesaat hari akhirat kelak.

Rasulullah S.A.W mengetahui dan sudah melihat azab dan nikmatnya didalam kubur ketika Isra dan Mikraj.

Bahawa orang yang mati apabila sudah ditanam dalam tanah, kuasa Allah jua akan dihidupkan semula rohnya dan datanglah kedua Malaikat Munkar dan Nankir akan menyoal soalan-soalan mengenai Tauhid, walapun pada zahirnya mayat itu didalam kubur.

3- Mengenai Syaitan, Jin dan Iblis.

Ketiga-tiga jenis makhluk itu sudah Rasulullah S.A.W melihatnya serta tunduk kepada Rasulullah S.A.W dan ada pula dibaca oleh Rasulullah S.A.W mereka menjadi api dan ada pula menjadi baik serta mendengar Al-Quran.


Jumaat, 4 Mei 2012

BERLAKUNYA HARI AKHIRAT TIDAK BERTENTANGAN DENGAN LOGIK AKAL MANUSIA (2007)

  • Percaya kepada hari akhirat adalah termasuk salah satu rukun Iman.
  • Orang Islam yang beriman sudah tentu tiada keraguan mengenai hari akhirat.
  • Orang yang berakal, ahli fikir dan ahli falsafah juga percaya adanya hari akhirat.
  • Pertimbangan akal kita pun dapat mengikut dan menetapkan berlakunya hari akhirat.
  • Setiap yang hidup pasti akan mati, yang muda menjadi tua, yang kuat menjadi lemah.

Sebagai Contoh :-

1- Seseorang yang sudah berbuat baik di dunia ini dan telah mati akan juga mendapat balasan baiknya. Begitu juga ada orang yang suka melakukan kejahatan telah mati tanpa belum dibalas kejahatan oleh Allah diatas perbuatannya, maka akal yang luas akan menerima kenyataan yang mana balasan Allah ialah pada hari akhirat. Itulah hari penghabisan balasan Allah dan inilah logik bagi orang-orang yang beriman percaya bahawa Allah itu ada.

Manusia yang berakal logik sedia menerima apa-apa yang bermula di dunia akan berakhir jua.

Ahli Saintis teleh mengkaji dan membuktikan bahawa dunia ini ada permulaannya. Masa dan tempat ada permulaannya, jadi logik akal boleh menerima bahawa masa dan tempat termasuk dunia ini mesti berakhir dengan kehancuran apabila datangnya hari akhirat.

2- Nabi Isa Alaihissalam dilahirkan oleh ibunya tanpa ayah;

Bagaimana sesuatu yang tidak ikut logik dan diluar fahaman manusia boleh berlaku? Disinilah peranan dan pentingnya Iman seseorang kepada Allah Ta'ala.

3- Asal kejadian manusia dan bagaimana logik dan tak logiknya akal manusia menerimanya dan bagaimana terjadinya kandungan itu dalam perut ibu jika tidak ada pertemuan antara suami isteri. Tidak diterima oleh akal jika terjadi begitu sahaja.

4- Bagi manusia yang tidak percaya kepada Allah akan kebangkitan hari akhirat, akal mereka tidak akan menerimanya.

Firman Allah Ta'ala :
اوليس الدي خلق السموات والأرض بقادر على أن يخلق مثلهم بلى وهو الخلاق العليم (سورة يس 81

Ertinya : Tidakkah Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi itu berkuasa menjadikan semula manusia sebagaimana ia menciptakan mereka dahulu, Ya, dialah Allah pencipta yang tidak ada bandingannya lagi yang amat mengetahui.

Lihatlah keagungan Allah diduniia ini, tanyalah asal kejadian kamu dari mana dan dimana sahabat-sahabat, kaum kerabat yang kamu sayang dimana mereka itu masa ini semuanya sudah mati.

Mereka merasakan dirinya makhluk yang besar yang sukar untuk diciptakan dan dibangkitkan semula, padahal yang sebenarnya bumi dan makhluk dipermukaan bumi adalah milik Allah dan amat kecil disisi Allah, bahkan Allahlah yang menjadikan langit dan bumi dan isi kandungannya.



Firman Allah Ta'ala :
لخلق السموات والأرض أكبر من خلق الناس ولكن أكثر الناس لا يعلمون

Ertinya : Allah menciptakan langit dan bumi lebih besar dari menciptakan manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

Hanya akal manusia yang beriman dengan bekalan taqwa dapat menerima dengan akal yang terbuka dan berkata Allahlah yang berkuasa.

Isnin, 30 Januari 2012

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TASAWWUF 2011 (SOALAN 8) - (Berserta dengan jawapannya).

8) Menurut Ahli Tasawwuf untuk membuka hijab (dinding) yang membatasi diri dengan Allah Subhanahu Wata'ala, seseorang itu hendaklah terlebih dahulu membina peribadinya. Bincangkan.

JAWAPAN 

Menurut Ahli Tasawwuf untuk membina peribadi itu terdapat kepada empat cara iaitu :

i) Perbaikan Akhlak
Ahli Tasawwuf telah membuat satu sistem untuk memperbaiki akhlak yang dinamakan Takhalli, Tahalli dan Tajalli yang dipakai dalam riadah atau latihan berjuang untuk mensucikan diri dari segala sifat-sifat tercela dan menghiasi serta membina diri dengan sifat-sifat terpuji dalam rangka mencapai maqam yang lebih tinggi.

Takhalli ialah proses mengosonglan dan membersihkan diri dari sifat-sifat tercela dan melakukan maksiat. Tahalli pula menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji. Tajalli ialah memperolehi pancaran cahaya Illahi. Pada peringkat ini, tersingkaplah tabir rahsia dan jelaslah segala hakikat ketuhanan iaitu mukasyafah dam musyahadah.

Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa tujuan memperbaiki akhlak ialah untuk membersihkan hati dari kotoran-kotoran dan nafsu ammarah sehingga hati itu menjadi suci bersih bagaikan cermin yang dapat menerima cahaya Nur Allah Ta'ala. Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Hajr ayat 99 :
                                                                    واعبد ربك حتى يأتيك اليقين                                                    
"Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin."

ii) Sabar

Sabar ialah meninggalkan segala macam pekerjaan yang digerakkan oleh hawa nafsu, tetap pada pendirian agama yang mungkin bertentangan dengan kehendak hawa nafsu semati-mata menghendaki kebahagiaan dunia dan akhirat.

Sifat sabar adalah merupakan perjuangan untuk menghadapi hawa nafsu untuk kembali kepada Tuhan. Ia hanya dapat dilaksanakan oleh orang-orang yang betul-betul tawadhu' kerana orang yang merendahkan diri itu ialah orang yang benar-benar mempunyai keyakinan yang kuat, niat yang ikhlas dalam mentaati perintah Allah dan rasulnya.

Firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 45-46.

" Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; Iaitu mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya."

iii) Syukur
Untuk mencapai tingkat dalam perbaikan akhlak, kaum sufi mengajarkan sifat syukur. Syukur ialah berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat dan pemberiannya.

Orang yang tidak mahu bersyukur kepada Allah adalah orang yang lupa kepada pemberian Allah kepadanya. Dia merasa dirinya seolah-olah tidak perlu lagi dengan Allah dan berasa dirinya lebih besar dari Allah. Mereka ini akan mendapat azab yang amat pedih.

Ia adalah suatu sifat yang terpuji dan dipuji oleh Allah. Sebaliknya orang yang tidak mahu bersyukur (kufur) akan nikmat Allah, tidak disukai oleh Allah Ta'ala sebagaimana firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7.

"Dan (ingatlah) ketika tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."

Syukur itu terbahagi kepada tiga macam :

a) Syukur Qalbi (bersyukur dengan hati) iaitu mengetahui, mengakui dan meyakini bahawa segalanya adalah kurnia Allah.

b) Syukur Lisan (bersyukur dengan lidah) iaitu sentiasa memuji dan menyebut-nyebut nikmat yang diberikan.

c) Syukur Al-Jawarih (bersyukur dengan anggota badan) iaitu mempergunakan nikmat yang diberikan Allah kepada kebajikan.

iv) Redha

Redha mengeluarkan perasaan benci daripada hati takkala ditimpa bala bencana dan rela hatinya dan tidak marah menerima ujian Tuhan.

Redha maksudnya tengang menerima ujian dan segala yang telah ditakdirkan oleh Allah pada dirinya sendiri.

Orang yang memiliki sifat redha tidak bimbang atau kecewa atas pengorbanan yang dialaminya atau dirasainya ketika ia dalam kesusahan atau kesukaran. Tidak merasa menyesali kehidupan walaupun dalam kekurangan. Tidak iri dan dengki atas kelebihan orang lain.

Orang yang mempunyai sifat redha mempunyai pegangan yang kuat kepada hukum Allah dan keimanan yang teguh kepada Qada Qadar Allah ta'ala. Firman-Nya didalam hadis Qudsi :

Maksudnya : " Bahawa Allah berfirman Akulah Allah, tidak ada Tuhan yang sebenarnya disembah selain Aku, maka barangsiapa yang tidak sabar atas cubaanku, tidak bersyukur terhadap nikmatku, dan tidak rela terhadap keputusanku, hendaklah ia mencari Tuhan yang lain daripadaku,"

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TASAWWUF 2011 (SOALAN 7) - (Berserta dengan jawapannya).

7) Takhalli ialah membersihkan diri dari sifat-sifat tercela yang mengotori hati seperti maksiat zahir dan batir. Jelaskan maksud maksiat zahir dan batin dan bagaimana cara untuk membersihkannya.

JAWAPAN :

Suci / Bersih Dari Maksiat lahir bermaksud :

Mensucikan diri dari dosa lahir dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang oleh agama. Yang termasuk dalam maksiat lahir ialah :-

i) Maksiat Lidah, diantaranya :-
- Suka bohong, berkata kotor, mengumpat, menghina, membuat fitnah, memuji diri, memaki, mencaci, melaknat, berdebat mencari kebenaran sendiri, berlagu yang berisikan sesuatu yang haram, mengadu domba, membuka rahsia dan bertengkar sehingga menimbulkan permusuhan.

Untuk membersihkan ialah dengan memelihara lidah dengan mempergunakannya pada perkara-perkara yang berfaedah, seperti :-

- Memuji dan suka bersyukur kepada Allah.
- Berzikir dan membaca Al-Quran serta hadis-hadis Rasulullah S.A.W.
- Mengajak manusia ke jalan amal kebajikan.
- Dan sebagainya yang tidak menpergunakan lidah dalam perkara-perkara maksiat.

ii) Maksiat Mata, diantaranya :-

- Melihat lelaki atau perempuan dengan penglihatan yang membangkitkan hawa nafsu.
- Melihat aurat orang, kecuali isteri dan kanak-kanak yang belum mumayyiz.
- Melihat orang dengan hina.
- Melihat sesuatu yang diharamkan oleh Islam seperti melihat gambar-gambar yang kotor.

Untuk membersihkan maksiat mata ialah memelihara mata dari melihat pada perkara-perkara yang boleh menaikkan hawa nafsu dan maksiat, seperti :-

-Melihat pandangan yang baik.
- Rendahkan pandangan mata.
- Mengelakkan dari pandangan yang boleh mendatangkan dosa.

Gunakanlah mata pada melihat keindahan dan keajaiban alam ciptaan Allah, serta melihat ayat-ayat Al-Quran dan sebagainya yang boleh meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah.

iii) Maksiat Perut, diantaranya :-

- Makan dan minum barang yang haram atau Syubhah.
- Terlalu banyak makan.
- Memakan harta hasil dari riba, harta rasuah, harta hasil curian, harta anak yatim, harta wakaf dan sebagainya hasil dapatan daripada yang haram.

Untuk membersihkan ialah memelihara perut dari memakan perkara-perkara yang haram serta syubhah, contohnya :-

- Memastikan kehalalan sebelum makan sesuatu makanan atau minuman.
- Jangan makan berlebihan sehingga boleh melemahkan badan dan otak dan membuat hati beku.

iv) Maksiat Telinga : Disebabkan suka mendengar perkara-perkara yang tidak elok, sia-sia serta melalaikan, lebih-lebih lagi yang boleh menaikkan hawa nafsu diantaranya :-

- Mendengar umpatan orang.
- Mendengar perkara yang sia-sia seperti lagu-lagu sehinggi melalaikan.
- Mendengar perkataan yang kotor sehingga menaikkan syahwat.

Untuk mengubati ialah dengan menggunakan telinga pada mendengar perkara-perkara yang boleh mendatangkan faedah dan pahala, seperti :-

- Mendengar nasihat agama.
- Mendengar Al-Quran, zikir-zikir.
- Mendengar perkara yang berfaedah dan bermanfaat, yang boleh menambahkan ilmu serta menambahkan keimanan kepada Allah.

v) Maksiat Kemaluan, diantaranya :-

- Melakukan perbuatan zina.
- Melakukan perbuatan liwat.
- Mengeluarkan air mani  dengan cara yang haram.

Untuk membersihkan maksiat ini ialah dengan memelihara kemaluan dari perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa dan penyaki, seperti :

- Jauhi zina dan onani.
- Jangan menghampiri tempat-tempat maksiat.
- Jangan mudah memegang perempuan yang halal bagi seseorang.
- Menjaga aurat atau kehormatan dari melihat sesuatu yang menimbulkan nafsu berahi.

iv) Maksiat Tangan : ialah mempergunakannya pada perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam atau perkara-perkara dosa dan maksiat, diantaranya :-

- Mencuri barang orang, memukul orang, mengurangi timbangan, merompak, merampas, membunuh tanpa hak, memberi atau menerima rasuah, bermain judi, membakar binatang, bermain alat-alat musik sehingga melalaikan beribadah, menyentuh wanita yang tidak halal, enggan membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan.

Untuk mengubati dan memelihara tangan ialah :

Hendaklah mempergunakan tangan dengan sebaik-baiknya kepada perkara-perkara yang diredai oleh Allah S.A.W, seperti :-

- Mengelakkan dari segala sentuhan yang haram baginya.
- Mengelakkan tangan dari memegang yang haram.
- Menggunakan tangan kepada mengangkat Al-Quran, buku-buku yang berfaedah dan menolong orarang yang memerlukan pertolongan.

vii) Maksiat Kaki : ialah mempergunakannya pada perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam atau perkara-perkara dosa dan maksiat, diantaranya :-

- Berjalan tempat yang haram dan maksiat.
- Suka tendang orang.
- Berjalan kepada orang yang suka membuat dosa.

Untuk mengubati dan memelihara kaki ialah mempergunakan kaki dengan sebaik-baiknya kepada perkara-perkara yang diredai oleh Allah S.A.W, seperti :

- Suka berjalan ketempat ibadah Masjid, Madrasah dan tempat yang aman dari dosa.
- Berjalan kepada jalan kebaikan dan kesihatan.


Suci / Bersih Dari Maksiat Batin 

Maksudnya : mensucikan diri daripada dosa batin dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Para ahli sufi berpendapat bahawa ada 7 ( لطائف ) tempat yang membuat manusia itu melakukan maksiat (dosa batin). Tujuh tempat tersebut ialah :-

i) Lathiful Qalbi ( لطيفة القلب ) . Letaknya dua jari di bawah susu kiri. Disinilah terletak sifat-sifat kemusrikan, kekafiran dan ketahyulan dan sifat-sifat iblis. Untuk mensucikan dosa batin ini mestilah membaca zikir ( الله )  sebanyaj 5,000 kali sehingga hati ini diisi dengan iman, islam, ihsan, tauhid dan ma'rifat.

ii) Lathifurruh ( لطيفة الروح ). Letaknya dua jari di bawah susu kanan. Disinilah terletak sifat-sifat Bahimiyiah ( binantang jinak ) iaitu sifat-sifat yang menurut hawa nafsu. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali.

iii) Latifatussir ( لطيفة السر ). Letaknya dua jari di atas susu kiri. Disinilah terletak sifat-sifat syabiyah (binatang buas) iaitu sifat zalim, pemarah dan pendendam. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali sehingga terisi sifat-sifat yang murni seperti kasih sayang, belas kasihan dan ramah.

iv) Lathifatul Khafi ( لطيفة الخفي ). Letaknya dua jari di atas sisi kanan dikenderai oleh limpa jasmani. Disinilah terletak sifat-sifat pendengki, Khianat dan sifat-sifat syaitaniyah yang membawa kecelakaan dan kebinasaan dunia dan akhirat. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali dengan suara yang agak kuat sehingga lahir sifat sabar dan syukur.

v) Lathifatul Akhfa ( لطيفة الأخفي ). Letaknya di tengah dada berhubung dengan empedu jasmani. Disinilah terletak sifat-sifat Rabbaniyah seperti takbur, ujub dan ria. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali sehingga terbasmi sifat-sifat yang buruk yang boleh merosakkan amalan baik manusia dan lahir sifat ikhlas, khusyuk dan tafakkur.

vi) Lathifatun Nafsin Natiqah ( لطيفة النفس الناطقة ). Letaknya di antara dua kening. Disinilah letaknya nafsu Ammarah. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali sehingga timbul ketenangan dan ketenteraman di pikiran dan hati serta hilang sifat-sifat yang menjadi penghalang untuk menciptakan perbaikan manusia.

vii) Latifah Kullu Jasad ( لطيفة كل الجسد ). Latifah yang mengendarai seluruh tubuh badan. Disinilah terletak sifat-sifat jahil dan lalai. Untuk mensucinya bacalah zikir ( الله ) sebanyak 1,000 kali sehingga tiada tempat di dalam tubuh akan sifat-sifat jahil dan lalai dan timbulnya pula sifat ilmu dan amal.

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1, TASAWWUF 2011 (SOALAN 6) - (Berserta dengan jawapannya).

6) Huraikan dengan ringkas sejarah kelahiran ilmu Tasawwuf bermula dari zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam hingga  berkembangnya pada abad kedua Hijrah.

JAWAPAN :

Bermulanya Ilmu Tasawwuf berpunca daripada kehidupan nabi besar kita Muhammad S.A.W. Kehidupan Nabi Muhammad S.A.W sebelum menjadi nabi dan lebih-lebih lagi setelah menjadi nabi dan Rasul dari allah Ta'ala.

Maka dalam menerangkan perkembangan ilmu Tasawwuf itu, kita mesti kembali balik semula kepada peri hidup Rasulullah S.A.W dan peri hidup sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W yang sentiasa berdampingan dengan Rasulullah S.A.W. Cara hidup Rasulullah S.A.W dan zaman Khulafa Ar-Rashidin sendiri telah mencerminkan cara hidup Tasawwuf.

Cara hidup yang demikian, sedikit demi sedikit lahirlah dan tersebarlah ilmu Tasawwuf dari ahli-ahli Tasawwuf meningkat secara mendalam yang diamalkan apa-apa yang telah dipunyai sifat-sifat yang mulia dari Nabi Muhammad S.A.W.

Orang-orang ahli sufi sentiasa mengamalkan apa-apa yang telah diamalkan dan dibawa hukum-hukum dari Rasulullah yang berdasarkan wahyu dari Allah.

Selepas itu perkembangan ilmu Tasawwuf mendapat benih-benih yang berfaedah dari seringnya Rasulullah S.A.W ke Gua Hira dan orang-orang sufi menjadikan unsur-unsur penting bagi peribadatan dan gambaran yang lengkap sebenar-benarnya.

Ahli-ahli Sufi (Tasawwuf) memandang pada pekerjaan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sehari-harian dan memandangkan Rasulullah sebagai Imam Besar dan Guru pertama dari ilmu Tasawwuf.

Kehidupan para sahabat pula sentiasa sederhana dan cinta kepada Allah dan Rasulullah S.A.W. Semua perkembangan fikiran mereka dan cara hidup mereka ialah untuk mendapat keredhaan Allah sahaja. Hidup dizaman pembangunan Islam dari semenjak zaman Rasulullah hinggalah ke zaman sahabat-sahabat tidak pernah terpisah dengan hidup kerohanian sebagai hidup orang-orang ahli Tasawwuf sebagai contoh cara hidup mereka ialah seperti mempunyai sifat zuhud, taat, istiqamah, mahabbah, ikhlas, jiwa bersih dari kotoran dan penyakit hati dan sifat-sifat yang tinggi dalam nilai-nilai ketinggian akhlak.

Demikianlah perkembangan ilmu Tasawwuf kesemuanya bersumberkan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabatnya. Selanjutnya ilmu Tasawwuf itu berkembang lagi dengan dimulai oleh salah seorang sahabat nabi yang mulia yang bernama Huzaifah bin Al-Yamani.

Menurut catatan sejarah; Dari sahabat nabi yang bernama Huzaifah bin Al-Yamani, inilah yang pertama mendirikan Madrasah Tasawwuf, tetapi belumlah terkenal dengan nama Tasawwuf, masih sangat sederhana sekali. Beliau telah menjadikan ibadat secara satu tariqat yang khusus serta membuka jalan dan teori-teori tasawwuf.

Huzaifah mempunyai ramai murid-murid yang handal dalam bidang ini yang kemudiannya menjadi ulama-ulama besar dan imam-imam Tasawwuf pada abad pertama Hijrah atau pada permulaan abad kedua hijrah. Antara muridnya yang terkenal ialah Imam Al-Hassan Al-Basri seorang ulama besar dari golongan tabi'en dan murid-murid yang lain seperti Malik bin Dinar, Thabit Al-Bandani, Muhammad bin Wasi' dan Ayub As-Sakhtiani.

Imam Al-Hassan Al-Basri merupakan orang pertama yang membawa jalan-jalan ilmu Tasawwuf, membuka lidah memperkatakannya, mempraktikkannya serta menghuraikannya. Adapun madrasah Al-Hassan Al-Basri ini didirikan di Basrah kerana banyak berlakunya perpecahan mazhab dikalangan umat Islam.

Dan seterusnya oleh Sa'ed bin Al-Musaiyab dari ulama besar Tabi'en yang mendirikan madrasah tasawwuf di Iraq. Diantara murid-muridnya yang terkenal dari kalangan ulama-ulama Tasawwuf Iraq ialah Abu Hamzah As-Sufi. Kemudian sebuah lagi madrasah Tasawwuf didirikan di Khurasan dipimpin oleh tokoh ulama besar yang bernama Ibrahim bin Adham. Sejak itu beberapa madrasah Tasawwuf lain telah dibuka oleh imam-imam besar dalam bidang ini di dalam Islam.

Ilmu Tasawwuf berkembang pesat dan mendapat kedudukan yang tetap di dalam jiwa masyarakat Islam hingga ke hari ini. Menurut sejarah dengan perkembangan ilmu Tasawwuf inilah, agama Islam terkenal di Afrika, Asia, sama ada Asia kecil atau Asia Timur, Asia Tengah hingga negara-negara yang lain oleh kerana sifat-sifat dan cara hidup sederhana orang ahli sufi.

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1, TAUHID 2011 (SOALAN 5) - (Beserta dengan jawapannya).

5) Baharu alam ini merupakan dalil 'aqli yang biasa digunakan dalam mengisbatkan kewujudan Allah Subhanahy Wata'ala. Bincangkan.

JAWAPAN

Alam dalam istilah ilmu kalam ialah segala sesuatu yang lain daripada Allah, ini termasuk cakerawala dan makhluk-makhluk lain semuanya. Manusia diminta supaya menyelidiki dan berfikir terhadapa alam ini, bagaimana ianya diciptakan, siapakah penciptanya dan bagaimana pula kesudahannya.

Manusia yang mukallaf adalah berkewajipan memerhati, memikir dan menyusun dalil-dalil sehingga sampai kepada mengenal Allah, kerana dengan mengenal Allah sajalah mereka akan terselamat di Hari Kiamat kelak.

Orang yang berfikir akan dapat menemui tanda-tanda wujud Allah yang maha kuasa dan maha agung dalam tiap-tiap suatu yang ada dalam alam ini. Seperti orang yang berfikir tentang dirinya. Bagaimanakah ia dijadikan? Daripada apakah ianya disusun? Bagaimanakah sistem perjalanan anggotanya? Bagaimanakah sel-sel badan mendapat bahan makanan dari darah? Mengapa ia merasa suka dan duka, kasih dan benci? Siapakan yang membuat semua itu? Tak lain dan tak bukan semuanya itu diciptakan oleh Allah sebagaimana firmannya :-

" Wahai manusia, apakah yang memperdayakan engkau terhadap Tuhan engkau yang telah menyempurnakan kejadian engkau dan membuat engkau dengan ukuran yang seimbang mengikut bentuk yang dikehendaki oleh susunan engkau ".

Begitu juga apabila diperhatikan kepada bulan dan matahari. Bagaimanakah keduanya ini beredar sejak berjuta-juta tahun dengan perturan yang tetap dan tidak pernah rosak? Kalaukah direnung dan difikirkan rahsia ini semua tentulah didapati bahawa penciptanya tidak lain dari Allah seperti firmannya :-

" Matahari itu beredar menurut ketetapannya. Itulah ukuran dari Tuhan yang maha kuasa dan maha mengetahui. Dan bulan itu telah ditentukan baginya beberapa darjat, hingga ia kembali seperti lingkaran pelapah kering yang tua. Matahari tidak sepatutnya mengejar bulan dan siang tidak dapat pula mendahului malam, masing-masing berjalan mengikut peredarannya."

Semua alam ini mempunyai bukti yang menunjukkan ianya baharu dan berhajat kepada penciptanya yang bijaksana. Pencipta ini tidak lain dari Allah. Orang yang telah dipengaruhi oleh dunia dan dibesarkan oleh syaitan sahajalah yang berani mengingkari wujudnya Allah. Mereka ini bertujuan untuk melepaskan diri dari tanggungjawab syarak. Mereka ini menimbulkan berbagai kekeliruan yang boleh mempengaruhi jiwa yang lemah. Pihat berwajib adalah bertanggungjawab membasmikan segala kekeliruan yang ditimbulkan itu, dengan menerangkan dalil-dalil wujudnya Allah dengan cara yang logik.

Dalil-Dalil yang menunjukkan alam ini baharu :


Alam ini terdiri dari dua unsur, iaitu Jauhar dan Aradh. Jauhar ialah zat yang memenuhi ruangan sekadar ukurannya, manakala Aradh ialah sifat-sifat yang memenuhi ruangan kerana bergantung kepada zat. Tiap-tiap zat tentulah ada sifat dan begitulah sebaliknya. Misalnya satu jisim yang tidak bergerak dan tidak diam tentu tidak boleh diterima oleh akal kerana adanya jisim tanpa bersifat dengan salah satu dari sifat-sifat yang berlawanan itu mustahil.

Aradh itu baharu kerana ianya sentiasa bertukar ganti dan hilang. Pada setengah-tengah Aradh, kita boleh lihat kehilangannya dengan nyata. Kita selalu melihat sifat-sifat benda yang bertukar ganti dari gerak kepada diam dan begitulah sebaliknya. Apabila suatu benda itu bergerak, kemudian diam, bererti sifat bergerak itu telah hilang. Ini dapat kita saksikan setiap waktu.

Bagi Aradh (sifat) yang tidak pernah kita lihat kehilangannya pula bolehlah kita kiaskan dengan apa yang berlaku pada Aradh yang boleh dilihat itu kerana keduanya sama-sama Aradh. Apa yang harus berlaku pada salah satunya tentulah harus berlaku pula pada yang lain. Jadi apabila Aradh itu boleh hilang dan lenyap maka berertilah ianya baharu, kerana jikalau ia tidak baharu tentulah ia tidak akan hilang.

Jauhar tidak mungkin sekali-sekali berpisah dari Aradh, kerana Jauhar tanpa Aradh tidak mungkin diterima oleh akal. Jadi sesuatu yang tidak boleh berpisah dengan yang baharu tentulah ianya baharu juga. Jikalau alam ini qadim tentulah ianya ada pada azali lagi, iaitu sebelum wujudnya Aradh. Ini tentulah mustahil.

Dari dalil ini jelas bahawa alam dan kedua-dua bahagiannya (Jauhar dan Aradh) adalah baharu dan ada penciptanya dan pencipta itu tidak lain daripada Allah Ta'ala.

Musuh-musuh Islam telah cuba menimbulkan beberapa kekeliruan terhadap dalil-dalil tersebut, antara lain ialah :

1- Mereka berkata : membahagikan alam kepada Jauhar dan Aradh serta menjadikan Aradh itu perkara tambahan kepada Jauhar untuk dibuat dalil diatas kebaharuan alam tidak dapat diterima, kerana tidak ada perkara yang lebih bertambah.

Kekeliruan ini dapat ditolah kerana berlebihanya Aradh diatas Jauhar itu perkara yang amat mudah difaham. Setiap orang boleh membezakan diantara jisim yang diam dan jisim yang bergerak. Jadi kedua-dua zat dan sifat itu boleh berubah-ubah.

2- Mereka berkata : kami menerima yang Aradh itu berlbih diatas Jauhar, tetapi kami tidak dapat menerima bahawa Aradh itu boleh hilang apabila datang lawannya. Sesuatu jisim yang bergerak apabila ia diam tidaklah bermakna bahawa geraknya itu telah lenyap, kerana mungkin sifat itu berada dengan bersendirian takkala bercerai dari Jauhar.

Kemunghkinan yang seumpama ini tidak dapat diterima kerana Aradh itu tidak boleh wujud dengan sendiri dan akal tidak dapat menerima wujudnya sesuatu sifat tanpa ada barang yang disifatkan. Gerakan tidak mungkin wujud tanpa ada yang bergerak, begitulah juga diam tidak akan berlaku tanpa ada suatu jisim yang bersifat dengannya.

3- Mereka berkata : kami menerima bahawa Aradh itu wujud dengan bersendirian, tetapi kami tidak dapat menerima yang Aradh itu boleh hilang dan lenyap, kerana ada kemungkinan ia akan berpindah dari Jauhar itu kepada Jauhar yang lain. Maksudnya gerakan yang ada pada suatu Jauhat itu apabila ianya berhenti akan terus berpindah kepada Jauhar lain yang bergerak.

Kemungkinan ini juga tidak dapat kita terima, kerana perpindahan seperti itu masih ada juga masa yang Aradh itu berada dengan keadaan bersendirian, iaitu semasa perpindahan dari jisim pertama kepada jisim kedua, sedangkan Aradh telah sabit tidak harus adanya dengan bersendirian.

4- Mereka berkata : bahawa Aradh itu hilang dan lenyap kerana mungkin sifat itu bersembunyi dalam jisim semasa lahirnya sifat yang bertentangan dengannya.

Kemungkinan ini juga tertolak kerana ianya membawa kepada terhimpunnya dua sifat yang berlawanan walaupun salah satunya lahir diluar dan satu lagi bersembunyi di dalam. Ini bermakna jisim itu bergerak dan diam dalam satu masa yang sama. Ini adalah mustahil.

5- Mereka berkata : bahawa Aradh itu tidak bersembunyi tetapi ianya hilang terus. Walaupun begitu kami tetap tidak dapat menerima bahwa baharunya Aradh itu terbawa kepada baharunya Jauhar. Kerana Aradh dan Jauhar itu tidak ada perkaitannya. Jauhar harus wujud tanpa Aradh.

Kekeliruan ini juga tertolak, kerana perkaitan yang tetap diantara Jauhar dan Aradh mesti ada supaya tidak ternafi kedua-dua sifat yang berlawanan. Kerana jika kedua-duanya ternafi bermaknalah jisim itu tidak bergerak dan tidak diam. Ini tentulah mustahil.

6- Mereka berkata lagi : Aradh itu boleh hilang dan ada perkaitan yang tetap dengan Jauhar, tetapi kami masih tetap mengatakan Aradh itu qadim dan boleh hilang.

Kekeliruan ini juga ditolah kerana yang qadim itu wajib wujudnya dan akal tidak akan menerima tiadanya.

7- Akhirnya mereka berkata : kami tidak boleh menerima bahwa yang berkait dengan yang baharu itu mesti baharu, kerana harus juga Aradh itu baharu yang tidak ada permulaan wujudnya. Maka bolehlah Jauhar berkaitan dengannya bersifat qadim.

Didalam kata-kata ini terkandung dalil yang menunjukkan batalnya. Kerana apabila Aradh itu diakui baharu tentulah ada permulaannya. Maka mengatakan Aradh itu baharu tanpa ada permulaan adalah bertentangan dan bertolak.

Dalam kata-kata ini terkandung dalil yang menunjukkan batalnya. Kerana apabila Aradh itu diakui baharu tentulah ada permulaannya. Maka mengatakan Aradh itu baharu tanpa ada permulaan adalah bertentangan dan bertolak.

Inilah tujuh jawapan diatas kekeliruan-kekeliruan yang telah ditimbulkan oleh musuh-musuh akidah Islam, tetapi telah ternyata lemah dan tidak berkemampuan untuk menentang kebenaran. Sekarang terbuktilah kepada kita yang alam ini adalah baharu.

Keputusan yang mengatakan alam dengan kedua-dua bahagiannya (Jauhar dan Aradh) baharu adalah hasil daripada pemikiran secara lojik iaitu :-

Alam ini harus binasa.
Tiap-tiap yang harus binasa mustahil qadim.
Apabila mustahil qadim maka tentulah baharu.




Bangkangan dari ahli-ahli tabie :
 

Golongan ahli tabie (Naturalist) ini mengatakan bahwa alam ini terjadi dengan sendiri tanpa berhajar kepada pencipta. Mereka bukan sebagaimana yang dipercayai oleh ahli-ahli agama. Kalau kita bertanya kepada golongan ini,  apakah tabiat yang menjadikan alam ini? Mereka akan menjawab, didalam tiap-tiap tubuh atau bahan didalam alam ini ada satu tabiat yang tertentu baginya. Sepertinya pokok ada tabiat menyubur dan logam ada tabiat menerima untuk dibentuk. Ini dapat disaksikan apabila satu bijian itu jatuh ke tanah, ia akan tumbuh, subur dan membesar hingga menjadi sebatang pokok dengan menjalani tabiatnya sendiri.

Teori ini mudah sahaja ditolak, kerana didalam kata-kata mereka itu sendiri terkandung dalil-dalil kepalsuannya. Tabiat sesuatu itu tidak lain dari sifat-sifat yang tetap ada padanya sama ada nyata atau bersembunyi, seperti biju-bijian yang menerima subur apabila disemai. Pendeknya mestilah ada bijian dan tanah. Adakah logik bahawa tabiat yang bererti sifat-sifat itu boleh ada bersendirian sahaja tanpa ada jisim-jisim yang ditumpanginya. Ini alah satu kekeliruan untuk memesongkan orang-orang yang lemah, padahal kekeliruan mereka itu sudah nyata kepalsuannya. Orang yang tertipu dengan kepalsuan ini lambat laun akan sedar juga kepalsuannya, iaitu tatkala ternyata tabiat yang dikatakan itu tidak lain dari Aradh manakala jisim-jisim yang ditumpanginya ialah Jauhar. Kedua-duanya adalah baharu sebagaimana yang telah dibincangkan. Tiap-tiap yang baharu berhajat kepada pencipta. Siapakah pencipta itu, Jawabnya ialah Allah.

Jumaat, 23 Disember 2011

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TAUHID 2011 (SOALAN 4) - (Beserta dengan jawapannya sekali.)

4) Jelaskan dengan ringkas DUA daripada perkara-perkara berikut :

i) Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan dasar-dasar kepercayaan mereka.

ii) Sifat-sifat yang wajib bagi rasul Allah berserta dalil 'aqli dan naqli.

iii) Pengertian Nifaq, Riddah, Syirik, Kufur dan Fasiq.


JAWAPAN


i) Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan dasar-dasar kepercayaan mereka.

Ahlus Sunnah bererti : Kepercayaan yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. di dalam urusan agama.

Adapun Wal Jamaah bererti : Iaitu sahabar-sahabat nabi yang bersama-sama berjuang dan membantu dalam hal urusan agama, mereka sentiasa berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah S.A.W.

Bagi mereka yang kemudian dari peringkat ini yang mengikuti perjalanan sahabat-sahabat nabi iaitu dengan berpegang teguh dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W adalah dinamakan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kemudian jika mereka tidak dapat keterangan daripada Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W, maka mereka berpegang dengan hukum-hukum yang telah dipersetujui oleh sahabat-sahabat nabi.

Yang dimaksudkan dengan nama Ahlus Sunnah Wal Jamaah pada masa sekarang ini ialah pengikut-pengikut Al-Imam Abu Hassan Al-Ash'ari dan pengikut-pengikut Al-Imam Abu Mansor Al-Maturidi. Kepercayaan Ahlus Sunnah, bererti semuanya diambil dari perbuatan sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W dan ikutan kebanyakan dari jumlah yang besar daripada umat Islam di dalam dunia yang ada sekarang ini.

Sumber-sumber hukum dari Ahlus Sunnah Wal-Jamaah

1) Al-Quran
2) Hadith Rasulullah S.A.W.
3) Menerima Ijmak
4) menerima Qias

Kenyataan Ahlus Sunnah itu cukup terang, mereka tetap berpegang dengan hukum Al-Quran dan hukum hadith Rasulullah S.A.W dan menerima ijmak dan qias sebagai hukum di dalam syariat agama Islam.

Diantara dasar-dasar Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah :-

1- Percaya adanya Allah Ta'ala yang berkuasa dengan segalanya.
2- Tuhan mempunyai sifat-sifat yang sempurna, wajib diketahui oleh orang mukmin sebanyak 20 sifat, dan yang mustahil dan yang harus bagi Allah.
3- Wajib percaya adanya Malaikat, hanya yang wajib dipercaya ialah sebanyak 10 malaikat.
4- Wajib percaya Tuhan mempunyai nama-nama sebanyak 99 nama-nama Asma'ullah hul Husna.
5- Wajib percaya Allah menurunkan empat buah kitab : Al-Quran - Zabur - Injil - Taurat
6- Wajib percaya kepada rasul-rasul dan nabi-nabi. Yang 25 orang ini adalah Nabi dan juga Rasul.
7- Setiap orang Islam wajib percaya hari akhirat dan setiap orang akan ditunjukkan kejadian di padang Masyar seperti hisab (amalan-amalan baik dan jahat). Ada telaga kausar dan ada titian Siratul Mustaqim.
8- Wajib percaya adanya Qadha dan Qadar sama ada baik atau jahat adalah datangnya dari Allah, semuanya sudah tertulis di dalam azal di Lauh Mahfuz akan apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku keatas manusia itu.
9- Sahabat-sahabat dan khalifah-khalifah Rasulullah yang lebih utama mengikut tertib dan susunan ialah:
a) Khalifah Saiyidina Abd Bakar
b) Khalifah Saiyidina Umar
c) Khalifah Saiyidina Uthman
d) Khalifah Saiyidina Ali bin Abi Talib.
10- Anak-anak orang kafir, kalau mati kecil, akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.

*** (Calon hanya perlu menjawab 4 sahaja)


ii) Sifat-sifat yang wajib bagi rasul Allah berserta dalil aqli atau naqli.

Sifat yang wajib dan mustahil bagi rasul ada 4 : -

Amanah :

Terpelihara zahir dan batinnya dari melakukan sebarang maksiat atau perbuatan yang ditegah oleh Allah Ta'ala seperti zina, minum arak, bersifat ria dan sebagainya.

Dalil aqli : Jikalau rasul-rasul bersifat khianat (melakukan maksiat), tentulah pengikut mereka disuruh oleh Allah melakukan maksiat sebagaimana yang dilakukan oleh rasul-rasul tersebut, kerana pengikut itu diperintahkan mengikut rasul-rasul dalam semua hal, sedangkan Allah tidak sekali-kali menyuruh manusia melakukan perkara maksiat.

atau

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-A'raaf ayat 28:
                                                                قل إن الله لا يأمر بالفحشاء
Ertinya : Katakanlah (Muhammad), Sesungguhnya Allah tidak menyuruh perbuatan-perbuatan keji."


Siddek (Benar) lawan dusta :

Bersamaan berita dengan kejadian yang sebenar berlaku dan mustahil bersifat dusta.

Dalil aqli : Jikalau nabi-nabi berdusta pada cerita-cerita yang disampaikan dari Allah nescaya dustalah perakuan Allah S.W.T. sendiri, kerana rasul-rasul itu telah diperakui kebenarannya oleh Allah menerusi berbagai mukjizat.

atau

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-Haaqah ayat 44-47 :-

Ertinya : " Dan jikalau Nabi Muhammad itu mengatakan sesuatu perkataan yang tidak kami katakannya nescaya kami binasakan dengan cara yang seburuk-buruknya tanpa ada sesiapa pun dari kamu yang boleh melindungkannya."


Fathaanah (bijaksana).

Tiap-tiap rasul adalah bijaksanam tajam fikiran, cepat faham dan kuat ingatan. Dengan ini dapat mematahkan hujah-hujah lawannya yang mencabar dan berdegil terhadap seruannya. Sifat-sifat ini juga memudahkan rasul-rasul memberi penerangan jelas mengenai perutusan yang hendak disampaikannya.

Dalil aqli : Rasul-rasul diutus untuk menerangkan syariat Allah dan menghilangkan kekeliruan dengan hujah-hujah yang memuaskan hati. Kalau sekiranya mereka bodoh maka hilanglah faedah perutusan mereka kepada umat manusia.

atau

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-An'aam atat 83.
                                                              وتلك حجتنا ءاتينها إبرهيم على قومه
Ertinya : Dan itulah hujah kami yang telah kami anugerahkan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya."


Tabligh (Menyampai) :

Menyampaikan semua perkara yang diperintah oleh Allah S.W.T. supaya disampaikan kepada umatnya, dan mustahil bagi rasul bersifat menyembunyikan sesuatu (tidak menyampaikan) apa yang telah diperintahkan Allah kepada manusia.

Dalil aqli : Kalau rasul-rasul menyembunyikan sesuatu yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia nescaya kita jua diperintahkan untuk menyembunyikan ilmu, kerana Allah memerintahkan kita mentauladani rasul-rasul, ini tidaklah benar.

atau 

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-Ma'idah ayat 99 :
                                                وما على الرسول إلا البلغ والله يعلم ما تبدون وما تكتمون
Ertinya : Kewajipan rasul tidak lain hanyalah menyampaikan, dan Allah mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan."


iii) Pengertian Nifaq, Riddah, Syirik, Kufur dan Fasiq.

Nifaq ialah :

Secara zahir kelihatan seperti orang berugama Islam, tetapi batinnya tidak beriman dan tidak percaya pada hukum Allah Ta'ala dan rasul-Nya. Asal makna nifaq ialah menampilkan yang baik sedang hatinya tidak begitu.

Firman Allah Ta'ala :
                                                                  يقولون بألسنتهم ماليس في قلوبهم
Ertinya : Mereka berkata dengan lidah mereka, tetapi yang sebenarnya tidak ada di dalam hati mereka.

Riddah ialah :

Keluar dari agama Islam sebab ingkar pada hukum Allah dan hukum Rasulullah S.A.W dan mengikut kepercayaan yang lain dari ajaran Allah (agama Islam) dan perbuatan dan kelakuan serta perkataan bertentangan dengan hukum agama Islam.

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 217 :
Ertinya : Dan sesiapa yang menjadi murtad dikalangan kamu dari agamanya, maka dia mati kafir, maka binasalah segala amalannya di dalam dunia dan akhirat.

Syirik ialah :

Percaya tuhan itu lebih dari satu dan menyekutukan Allah dengan sesuatu, seperti katanya : Allah ada anak, ada kuasa lain yang lebih kuat dari Allah.

Firman Allah Ta'ala dalam surah An-Nisaa ayat 48 :
Ertinya : Sesunguhnya Allah tidak mengampuni orang yang syirik dengannya, dan mengampuni selain dari itu mereka yang dia kehendaki.

Kufur ialah :

Ingkar dan tidak mahu menerima kebenaran (Ajaran Islam). Sebab itu orang yang tidak percaya akan ajaran Islam dipanggil orang kafir. Kufur dengan erti kata lain ialah orang Islam yang tidak bersyukur kepada Allah, lupa pemberian Allah, lupa nikmat Allah, maka dinamakan kufur nikmat (kufur kecil).

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Imran ayat 131 :
                                                                      والتقوا النار التي أعدت للكفرين
Ertinya : Dan takutlah kepada api neraka yang mana disediakan untuk orang-orang kafir.

Fasiq ialah :

Orang yang keluar daripada jalan kebenaran dan tidak memperdulikan segala perintah Allah S.A.W. Mereka menyelesaikan masalah bukan menurut aturan Islam tetapi mengikut kehendak hawa nafsu.

Orang yang fasiq ini, Tuhan tidak menyukai kelakuannya dan Tuhan tidak memberi petunjuk kepada dirinya untuk jalan kebaikan.

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Maidah ayat 108 :
                                                                والله لا يهدي القوم الفسقين
Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasiq.

Khamis, 22 Disember 2011

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TAUHID 2011 (SOALAN 3) - (Beserta dengan jawapannya sekali.)

3) Diantara tanda-tanda besar akan berlakunya Qiamat ialah keluarnya Dajjal.

Bincangkan pendapat ulama Tauhid tentang pengertian Dajjal, Siffat-sifatnya, tempat keluarnya, pengikut-pengikutnya, fitnahnya dan kebinasaannya.


JAWAPANNYA


Dajjal ini dinamakan "Dajjal" kerana ia menutupi kebenaran dengan kebatilan, atau kerana ia menutupi kekafirannya terhadap orang lain dengan kebohongan, kepalsuan dan penipuannya atas mereka. Dajjal mengakui dirinya Tuhan dan ia berusaha melemparkan bermacam-macam fitnah dan mempengaruhi manusia agar meninggalkan agama Islam.

Sifat-sifat Dajjal :

Antaranya :

- Buta mata sebelah, seolah-olah buah anggur masak (tak bercahaya).
Dari Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah S.AW. pernah menyebut mengenai Dajjal dihadapan orang banyak, lalu baginda bersabda :
" Sesungguhnya Allah S.A.T. itu tidak buta sebelah matanya. Ketahuilah, sesungguhnya Al-Masih Ad-Dajjal itu buta sebelah matanya yang kanan seakan-akan matanya itu buah anggur yangtersembul."

- Seorang laki-laki yang pendek dan gemuk, menurut hadis yang diriwayatkan dari Ubadah bin Ash Shamit r.a. Rasulullah S.A.W. bersabda :-
" Sesungguhnya Masih Dajjal itu seorang lelaki yang pendek dan gemuk, berambut kribo, buta sebelah matanya an matanya tidak menonjol serta tidak tenggelam. Jika ia memperdayakan kamu, maka ketahuilah bahawa Rabbmu tidak buta sebelah matanya."

- Ada tanda perkataan "KAFIR" diantara kedua matanya, seperti hadis Anas r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda : " Dan diantara kedua matanya termaktub tulisan " كفر "(kafir).

- Tidak mempunyai anak (mandul) .

Tempat keluarnya Dajjal :

Dajjal akan keluar dari arah timur dari Khurasan, dari kampong Yahudiyyah Kota Ashbahan. Kemudian mengembara ke seluruh bumi. Maka tiada ada satu pun negeri yang tidak dimasukinya kecuali Mekah dan Madinah, kerana kedua kota suci ini dijaga oleh Malaikat.

Diriwayatkan dari Abu Bakar As-Siddiq r.a. ia berkata : Rasulullah S.A.W. bersadba kepada kami : " Dajjal akan keluar dari bumi ini di bahagian timur yang bernama Khurasan "

Pengikut-Pengikut Dajjal :

Kebanyakkan pengikut Dajjal adalah orang-orang Yahudi, orang Ajam, orang Turki dan ramai lagi manusia dari pelbagai bangsa dan golongan yang kebanyakan dari orang-orang dan kaum wanita.

Imam Muslim meriwatkan dari Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
"Dajjal akan diikuti oleh orang-orang Yahudi Asbahan sebanyak tujuh puluh ribu orang yang mengenakan jubah tiada berjahit."

Atau

Kebanyakkan pengikut Dajjal adalah orang-orang Yahudi sesuai dengan hadis Rasulullah S.A.W yang menyatakan bahawa akan berlaku peperangan antara orang Yahudi dan kaum Muslimin. Sabda Rasulullah S.A.W :
" Tidak akan berlaku hari Akhirat sehingga orang Islam semuanya memerangi orang Yahudi, sehingga batu yang dibelakangnya ada orang Yahudi bersembunyi itu pun berkata : Hai orang Islam, ini ada orang Yahudi bunuhlah dia."

Rasulullah S.A.W. telah memberitahu dan mengambarkan kejadian jahatnya dajjal dan jahatnya orang Yahudi. Orang Islam yang kuat iman tetap memerangi dajjal dan orang Yahudi tetap membela dajjal. Akhirnya orang Islam akan mendapat kemenangan dalam peperangan melawan orang Yahudi yang sesat dan menyesatkan manusia ketika itu.

Fitnah Dajjal : 

Fitnah Dajjal merupakan fitnah paling besar. Dalam riwayat-riwayat disebutkan bahawa Dajjal memiliki syurga dan neraka, maka syurganya itu adalah neraka dan nerakanya adalah syurga. Dia jua memiliki sungai-sungai air dan gunung-gunung roti. Dia memerintahkan langit untuk menurunkan hujan lantas langit pun menurunkan hujan, memerintahkan bumi untuk menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, lantas bumi menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dengan segala hasilnya. Dia dapat melintasi bumi dari satu tempat ke tempat lain dengan kecepatan yang luar biasa, bagaikan hujan yang ditiup angin kencang, serta kejadian luar biasa lainnya.

Rasulullah S.A.W. "Dajjal itu buta maanya sebelah kiri, berambut keriting, mempunyai syurga dan neraka, Maka nerakanya adalah syurga dan syurganya adalah neraka." riwayat Imam Muslim.

Riwayat Imam Muslim dari Hudzaifah r.a. ia berkata, Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya aku lebih mengetahui apa yang menyertai Dajjal. Ia akan bersama dua buah sungai yang mengalir, yang satu kelihatan mengalir api yang menyala-nyala, maka hendaklah ia mendatangi sungai-sungai yang kelihatan berisi api itu, dan hendaklah ia pejamkan matanya kerana yang nampak api itu adalah air yang dingin."

Nasiblah jika kuat iman seseorang ketika itu maka segala yang ganjil dilihatkan oleh dajjal tidak terpengaruh sama sekali, sebaliknya jika lemah iman seseorang ketika itu maka mudahlah terima dan terikut perjalanan dajjal. Ingatlah bahawa dajjal sebenarnya ialah penipu dan pendusta dan pembohong makhluk Allah diakhir zaman.

Binasanya Dajjal :

Binasanya Dajjal ada ditangan Nabi Isa A.S. sebagaimana disebutkan dalam hadis sahih antaranya Imam Ahmad dan Imam Tirmidzi meriwayatkan dari Mujama' bin Jariyah Al-Anshari r.a, ia berkata : Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : "Ibnu Maryam akan membunuh Dajjal di pintu Lod."

Rabu, 21 Disember 2011

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TAUHID 2011 (SOALAN 2) - (Beserta dengan jawapannya sekali.)

2) Mu'jizat hanya dianugerahkan kepada para nabi dan rasul.

i) Jelaskan pengertian mu'jizat dan TIGA hikmat penganugerahannya kepada mereka.

ii) Nyatakan DUA contoh mu'jizat yang dianugerahkan kepada setiap rasul Ulul 'Azmi.


JAWAPAN

i) Pengertian mu'jizat menurut bahasa : sesuatu yang melemahkan.
 
Menurut Istilah : kejadian-kejadian luar biasa yang menyalahi adat yang dizahirkan oleh Allah ta'ala atas tangan seseorang yang mengaku dirinya nabi ketika dia dicabar oleh lain-lain orang yang mengingkarinnya, dan dengan cara ini dia melemahkan pihak pencabar dari berbuat sepertinya.

ATAU

Menurut Istilah : iaitu kejadian-kejadian yang luar biasa menyalahi adat untuk menguatkan kebenaran seseorang nabi atau rasul, dengan panduan dan mengikut keizinan Allah dan dapat melemahkan musuh yang mengingkari Allah Ta'ala.

Hikmat penganugerahannya kepada Rasul-rasul :
i) Membuktikan bahawa mereka adalah sebenar-benarnya rasul dan nabi Allah.
ii) Mengatasi dan mengalahkan kekuatan umat masing-masing.
iii) Melahirkan kekuasaan Allah yang ia boleh melakukan sesuatu mengikut kehendak-Nya yang mutlak.


ii) Mu'jizat-mu'jizat yang dianugerahkan kepada rasul-rasul Ulul 'Azmi.

i) Mu'jizat Nabi Nuh Alaihisalam :

a) Dapat menyembuhkan berbagai penyakit.
b) Selamat dari banjir besar dengan menaiki bahtera sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah sementara yang lain hancur musnah.

ii) Mu'jizat Nabi Ibrahim Alaihisalam :

a) Tidak hangus ketika dibakar dalam timbunan api yang besar setelah baginda dicampakkan oleh raja Namruz yang kejam kerana baginda menentang ibadat Namruz dan pengikut-pengikutnya. Firman Allah ayat 68-69 Al-Anbiya.
b) Menghidupkan dari Kematian.

iii) Mu'jizat Nabi Musa Alaihisalam :

a) Tongkatnya menjadi ular yang besar ketika Firaun mengumpulkan ahli sihir yang bijak dalam negerinya untuk melawan Nabi Musa seperti firman Allah Ta'ala dalam surah Al-A'raaf ayat 106-122.
b) Terbelah dua laut merah bila diperintah memukul dengan tongkatnya iaitu semasa dikejar oleh bala tentera Firaun, maka Musa bersama kaumnya Bani Israel berjaya melarikan dirinya dengan selamat, manakala Firaun dan pengikutnya terperangkap dalam laut yang bercantum kembali, ketika mereka mengejar Nabi Musa di belakangnya seperti firman Allah Ta'ala dam surah Al- Syu'araa ayat 63.

iv) Mu'jizat Nabi Isa Alaihisalam :

a) Baginda dapat menyembuhkan orang buta, penyakit sopak, menghidupkan orang mati dan membentuk lembaga burung dari tanah kemudian ditiup lalu menjadi burung yang terbang seperti firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Imran surah 49.
b) Tutunnya makanan dari langit kerana permintaan Hawariyin sebagaimana disebutkan dalam Al-Quran surah Al-Maidah 112-115.

v) Mu'jizat Nabi Muhammad Salallahu Alaihiwasalam :

a) Al-Quran Al-Karim. Mu'jizat yang terbesar sekali merangkumi mu'jizat-mu'jizat nabi-nabi yang terdahulu. Ia masih wujud dan akan kekal sehingga ahir dunia nanti. Firman Allah Ta'ala ayat 9 surah Al-Hijr.
b) Kisah Isra dan Mi'raj yang berlaku kepada baginda dalam masa hampir separuh malam sahaja.

Ahad, 18 Disember 2011

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TAUHID 2011 (SOALAN NO 1) ~ (Beserta dengan jawapannya sekali)

BAHAGIAN A - TAUHID

1- Wahdaniah bererti esa Allah Subhanahu Wata'ala pada zat, sifat dan perbuatan. Huraikan beserta dalil.

JAWAPAN

Maha Esa Allah pada zatnya terbahagi kepada dua maksud; Pertama : Zat Allah tidak terbentuk daripada beberapa bahagian seperti manusia. Kedua : Tiada zat lain yang menyamai zat Allah Ta'ala.

                                                                    سبحنه  هو الله الوحد القهار   ٤ 

Maksudnya : " Maha Sucilah ia (dari menghendaki yang demekian). Dia lah Allah, Yang Maha Esa, lagi yang mengatasi kekuasaannya segala-galanya."

Maha Esa Allah pada sifatnya, terbahagi kepada dua maksud; Pertama; sifat Allah tidak berbilang-bilang dari jenis yang sama pada Allah, seperti ada dua sifat Qudrah bagi Allah atau Qudrat itu berbeza dari masa kesemasa. Kedua; tidak ada seorang pin menyerupai sifatnya dengan sifat Allah.

Maha Esa Allah pada af'alnya iaitu pada perbuatannya. Allah mengadakan atau mentiadakan sesuatu itu dengan sendirinya. Tiada yang menyamai perbuatan Allah. Dialah yang melakukan dan merekabentuknya dengan sendiri-Nya.

Dalil Naqli thabitnya Allah bersifat dengan Wahdaniyah

                                                                      لو كان فيهما ءايه إلا الله لفسدتا 

Maksudnya : Sekiranya di langit dan di bumi itu ada Tuhan selain Allah nescaya binasalah keduanya.

Dalil Aqli :

i) Jikalau ada dua Tuhan yang kedua-duanya bersifat wajib wujud dan qudrat, iradahnya menyeluruh kepada kesemua manusia, nescaya tidak wujud alam ini, kerana sikap dan akibat yang boleh diandaikan seperti berikut :- 

- Pertama : Kedua-dua tuhan itu tidak sepakat.

- Kedua : Jika pun sepakat maka tidak mungkin kedua-duanya sama-sama mengadakan alam ini dengan bersendirian di waktu yang sama, kerana menyebabkan terhimpunnya dua pembuat di atas kesan yang sama dan ini adalah mustahil. Jikapun mengada secara tertib, misalnya A mengadakan dulu kemudian B, maka ini dikatakan sia-sia kerana mengadakan sesuatu yang telah ada. Begitu juga tidak mungkin sama-sama mengadakan sesuatu secara tolong-menolong kerana ini menunjukkan kedua-duanya lemah dan berhajat diantara satu sama lain.

ii) Jika Allah tidak bersifat dengan wahdaniyyah (Esa) nescaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu berbilang-bilang, sama ada pada zat-Nya, sifat atau af'al-Nya. Jika ia berbilang-bilang menunjukkan bahawa ia lemah kerana berhajar kepada yang lain. Mustahil Allah bersifat lemah kerana jika ia bersifat demikian, maka tiada alam ini. Tetapi alam ini ada menunjukkan bahawa penciptanya tidak bersifat lemah. Maka mustahil Allah bersifat berbilang-bilang dan thabitlah Allah itu bersifat Esa (Tunggal).


Sabtu, 13 Ogos 2011

PERTALIAN DIANTARA SYARIAT, TARIQAT, HAKIKAT DAN MAKRIFAT.


Orang-orang sufi cara hendak mendekatkan diri kepada Allah melalui 4 tingkatan yang menjadikan seseorang itu di dalam kesempurnaan agamanya.

1- Syariat
2- Tarikat
3- Hakikat
4- Ma'arifat

1) Syariat
- Syariat ialah undang-undang dan peraturan-peraturan dan garis pandu yang bersumberkan dari Al-Quran dan Al-Hadith. Firman Allah Ta'ala :
لكل جعلنا منكم شرعة ومنهاجاErtinya : " Bahawa Allah menjadikan syariat untuk tiap-tiap ummat dan jalan melaksanakannya "

Contoh Syariat :
Wajib sembahyang seseorang sebelum sembahyang diwajibkan mengambil Wudhu dan mempelajari hukum-hukumnya seperti wajib, haram, sunat, harus dan makruh.

Tujuan utama syariat ialah membina manusia supaya sempurna membuat amal kebajikan.

Peraturan-peraturan yang diatur oleh hukum syariat semuanya atas dasar Al-Quran dan Al-Hadith yang merupakan sendi hukum dalam Islam untuk membawa manusia keselamatan di dunia dan di akhirat, tetapi menurut Ahli Sufi bahawa syariat itu hanya baru merupakan tingkat pertama dalam menuju jalan kepada Allah.

2) Tarikat
- Iaitu jalan yang tertentu menuju kepada keredhaan Allah.

Pengertian yang lain : Tarikat ialah suatu sistem bagi menempuh jalan yang pada akhirnya dapat mengenal Allah dengan mata hatinya.

Tarikat mengajar cara yang terbaik untuk mendapatkan amalan yang sebaik-baiknya. Tarikat juga sesuatu jalan yang terbentuk untuk dilalui menuju kehadhirat Allah Ta'ala.

Contoh Tarikat :
1- Melakukan Ibadat dengan ikhlas
2- Sentiasa mengawal dan mengawasi diri dari maksiat
3- Sentiasa memperhitungkan kesalahan sambil bertanya dengan Allah apa-apa kesalahan yang telah dilakukan
4- Selalu rindu dan cinta kepada Allah Ta'ala
5- Lidahnya berzikir kepada Allah Ta'ala

Melalui Tarikat golongan Ahli Sufi sentiasa mengadakan latihan-latihan jiwa dengan membersihkan dirinya dari sifat-sifat yang tercela dan mengisinya dengan sifat-sifat yang terpuji dan membanyakan membawa wirid dan zikir dengan ikhlasnya semati-mata mencari keredhaan Allah Ta'ala/

3) Hakikat
- Iaitu kebenaran yang sejati dan mutlak yang padanyalah kesudahan segala perjalanan. Dalam menuju hakikat seseorang itu mestilah melatih dirinya terlebih dahulu.

Contoh Hakikat :
Apabila sudah melaksanakan hukum syariat dan beramal dengan tarikat maka hasilnya akan ternampak segala rahsia Allah di hatinya iaitu hakikat seperti lazat bersembahyang, lazat bedoa, lazat beramal, lazat membaca Al-Quran dan berzikir dan seterusnya.

Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda yang bererti :
" Syatiat itu perkataanku, Tarikat itu perbuatanku dan Hakikat itu ialah kelakuanku."

4) Makrifat
- Iaitu mengenal Allah dan mencintainya yang sebenar-benarnya dan makrifat inilah merupakan tujuan pokok dan hujung perjalanan daripada ilmu pengetahuan.

Apabila seseorang itu telah mencapai makrifat kepada Allah dan mencapai tujuan terakhir dalam amal ibadahnya pada jalan Allah nescaya ia akan tenggelam dalam lautan tauhid sehingga dirinya selalu dalam pengawasan zat Allah dan ketika itu orang tersebut menjadi fana dan lenyap dalam suatu keadaan iaitu hanya yang dilihat semuanya indah, dan lidahnya menyebut Allah sahaj

Selasa, 9 Ogos 2011

PAST YEAR PAPER TAUHID & TASAWWUF 1999

TAUHID

JAWAB 3 SOALAN :

1- Huraikan pendapat Ahli Sunnah Wal Jama'ah mengenai Iman. Dan jelaskan hubungan diantara mengucap dua kalimah syahadah dan mengerjakan ibadat dengan iman.

2- Allah Ta'ala bersifat dengan sifat Mukhalafatuhu Ta'ala Lil Hawadithi. Bincangkan dalil aqli dan naqli bagi sifat ini.

3- Allah Ta'ala bersifat dengan sifat Qudrah. Bincangkan pengertian sifat ini dan berikan dalil-dalilnya.

4- Sebutkan nama Rasul-rasul dan Nabi-nabi yang terdapat dalam Al-Quran, dan buktikan bahawa Nabi Muhammad S.A.W penyudah semua nabi dan rasul dengan membawakan dalil.

5- Dalam Ilmu Aqidah, terdapat beberapa aliran, diantaranya Khawarij dan Asy'ariah.
Bincangkan aliran-aliran ini dengan menjelaskan perbezaan dan persamaan diantara keduanya.


TASAWWUF

JAWAB 2 SOALAN :

1- Sabar adalah suatu sifat yang wajib dimiliki oleh setiap orang Islam. Bincangkan penyataan ini dari sudut Ilmu Tasawwuf.

2- Tasawwuf bukanlah suatu cara hidup yang membawa manusia supaya meninggalkan fitrahnya.

3- Bincangkan konsep Ma'rifat mengikut Ahli Sufi.

4- Buat catatan ringkas mengenai salah seorang daripada tokoh-tokoh Tasawwuf berikut, dengan menjelaskan sumbangan mereka kepada perkembangan Ilmu Tasawwuf:
* Al-Imam Hasan Al-Basri
* Al-Imam Al-Ghazali

PAST YEAR PAPER TAUHID & TASAWWUF 2000

TAUHID

JAWAB 3 SOALAN :

1- Islam dan Iman mempunyai hubungan yang tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan manusia. Bincangkan.

2- Diantara sifat-sifat yang wajib bagi Rasul-rasul Allah ialah Amanah dan Tabligh. Bincangkan.

3- Rezeki secupak tidak akan menjadi segantang. Bagaimanakah pendekatan kamu mengenai perkara tersebut.

4- Kejadian alam semesta ini tidak terjadi dengan sendirinya, melainkan ada penciptanya. Bincangkan dengan membawakan dalil Kauni sebagai alasan kamu.

5- Bincangkan tentang Syurga dan Neraka serta berikan dalil-dalil naqli mengenainya.


TASAWWUF

JAWAB 2 SOALAN :

1- Tuliskan dengan ringkas kelahiran Tasawwuf Islam dan Perkembangannya.

2- Jelaskan pendapat Imam Al-Ghazali mengenai Ru'yah dan Liqa.

3- Menurut keyakinan Ahli Sufi, orang tidak akan sampai kepada hakikat tujuan ibadat itu tanpa Tariqat. Bincangkan.

4- Ahli Sufi dan Ahli Sunnah mempunyai pengertian yang tersendiri mengenai makrifat. Bincangkan.

Isnin, 8 Ogos 2011

TAUHID : RINGKASAN MENGENAI TERJADINYA ILMU TAUHID DARI DALAM DAN LUAR

Terjadinya ilmu Tauhid dari dalam ialah ajaran dari Al-Quran tidak pernah sunyi dengan menyeru semua manusia supaya percaya kepada Allah, meminta kepada Allah serta percaya akan kejadian-kejadian yang telah Allah Ta'ala ciptakan. Melalui ajaran Al-Quran juga di beritahukan akan balasan terhadap manusia yang ingkar dan tidak percaya kepada Allah serta hari akhirat.

Kemenangan Islam telah tersebar di beberapa buah negeri serta mereka menguasai negeri-negeri yang telah ditakluki dengan meluaskan lagi dakwah dan ajaran Islam.

Terdapat juga segelintir manusia yang kurang pengetahuan tentang rahsia-rahsia yang terdapat di dalam Al-Quran dengan membawa tafsiran yang boleh menyebabkan kekeliruan yang mana akhirnya terjadilah beberapa perselisihan pendapat dan timbulnya fahaman dan mazhab-mazhad.

Oleh yang demikian, perselisihan pendapat-pendapat yang membawa punca perbezaan dalam memahami hukum Islam sehingga terjadinya puak-puak yang keras yang terlalu taksub dan fanatik terutamanya di dalam soal ketua dan Khalifah yang mana telah mengakibatkan terjadi pembunuhan Sayyidina Uthman bin Affan Radhiayallahhuanha.


Terjadinya ilmu Tauhid dari luar ialah apabila negeri-negeri yang sudah ditakluki oleh tentera-tentera Islam, banyak bangsa yang bukan Arab telah memeluk agama Islam. Walaupun begitu, mereka masih juga mengikut ajaran dan kepercayaan mereka yang lama.

Ulama-ulama Islam yang terkanal pada masa itu ialah Imam Syeikh Hassan Al Basri yang telah bekerja keras mengajar tentang masalah-masalah iktikad, kepercayaan dan juga menerangkan dengan jelas kepada masyarakat Arab yang baru memeluk agama Islam menerusi terjemahannya.

Selepas itu terjadi pula perselisihan pendapat serta pertelingkahan diantara Imam Hassan Al Basri dengan muridnya dan telah timbul pula puak-puak yang lain seperti puak Muktazilah dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Oleh itu nasib masyarakat Islam sehingga kini seperti mendapat bala dari Allah yang mana manusia sentiasa berselisih faham, bertelingkah, berpuak-puak serta tidak mahu bersatu faham untuk memahami ajaran Islam.

Benarlah apa yang telah diramal dan disabdakan oleh Rasulullah S.A.W bahawa umat Islam akan berpecah belah dan melahirkan perasaan yang sedih disebabkan hanya dari perbezaan pendapat sahaja dapam masalah furu iaitu tidak usul.

Rabu, 3 Ogos 2011

TASAWWUF : AJARAN TASAWWUF MENGAJAR MANUSIA CARA HIDUP YANG TIDAK MENINGGALKAN FITRAHNYA.

Sebenarnya ilmu Tasawwuf dan peri hidup kaum sufi tidaklah bertujuan hanya memilih hidup akhirat sahaja, sebaliknya ajaran ilmu Tasawwuf dan kaum sufi sendiri menggalakan mencari kehidupan dunia sama ada senang atau susah dunia dan akhirat.

Saiyidina Ibrahim bin Adham (tokoh sufi yang terkenal) pernah berkata :

Tasawwuf itu bukan suatu sistem hidup yang kasar atau keras. Bukan sistem menekan diri dan ikut perasaan atau membawa manusia hidup miskin dan susah. Bukan membawa manusia hidup meninggalkan fitrahnya yang biasa kerana itu merupakan ciptaan Allah dan semula jadi manusia, menurut kehidupan yang sebenarnya, iaitu :

1- Hidup sederhana (sederhana didalam segala perkara yang baik).

2- Hidup dengan melaksanakan sesuatu amal kebajikan pada tempatnya.

3- Tidak kurang hajat hidup dan tidak pula lebih.

Hidup kaum sufi yang sebenarnya bukanlah supaya meninggalkan segala kemewahan harta dunia, tetapi sebenarnya ialah :

1- Hidup orang sufi ialah hidup dengan roh yang jernih, suci bersih dari daki hati seperti hasad dengki dan busuk hati ;

2- Hidup di dalam alam yang penuh dengan pancaran cahaya Allah dan petunjuk Allah; dan

3- Tidak hidup didalam dunia seperti kehidupan binatang yang sentiasa mencari kesalahan dan suka bermusuh-musuhan.

Ahli kaum sufi hanya mengingatkan orang-orang yang ingin mencari kekayaan dunia serta kemewahan dunia jangan terlalu sangat berebut-rebut mencari dan memperbanyakkan harta dan kesenangan. Ingatlah harta dan kesenangan di dunia akan terbatas.

Ingatlah di atas orang yang besar ada lagi lebih besar, di atas yang kaya ada lagi yang lebih kaya, maka tidak ada seseorang pun yang merasa cukup dan keinginannya dalam bidang harta, pangkat, kesengangan, kekayaan, kemewahan, kebesaran, bagaimana pun kekayaan dan kesenangan yang diperolehi, ia masih melihat bahawa ia masih susah juga dan serba kekurangan.

Cara hidup orang Ahli Sufi.

Hidup kaum sufi dan matlamat Tasawwuf hanya mencari keredhaan Allah dan mengenal Allah lebih dekat. Kaum sufi selalu mengikut kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya.

Kaum sufi sentiasa hidup secara sederhana, tidak keterlaluan dengan harta atau pangkat atau mencari nama atau pembangunan. Kaum sufi sentiasa mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w yang menerima apa yang ada. Mereka sentiasa mencari dua kehidupan yang sederhana, alam dunia dan alam akhirat.

Kaum sufi mengetahui sekiranya mencari kekayaan yang keterlaluan nescaya boleh lupa Allah hingga berani melawan hukum Allah, maka mereka selalu ingat, jika mencari kekayaan dunia sahaja boleh mendatangkan keburukan seperti di bawah ini :-

1- Kebendaan boleh membawa kepada lupa dan anti Tuhan.
2- Kebendaan boleh membawa fitnah dan akhirnya binasa.
3- Kebendaan boleh membawa permusuhan dan kebencian.
4- Kebandaan boleh membawa kezaliman dan kehilangan sifat malu.
5- Kebendaan boleh membawa kepada sifat tipu dan bohong.
6- Kebendaan boleh membawa kepincangan hidup dan akhirnya menjadi miskin.

Ajaran ilmu Tasawwuf menunjukkan jalan keselamatan hidup :

Ajaran ilmu Tasawwuf merupakan dasar pokok kekuatan batin, pembersih hati dan jiwa, menguatkan Iman, menambahkan amal soleh semata-mata mencari keredhaan Allah. Dengan mempelajari ilmu Tasawwuf, Insyaallah dapat memperkuatkan jihad dalam latihan jiwa dan kunci untuk mengenal Allah dan dapat hidup yang sempurna dan penghidupan yang baik atas dasar-dasar keimanan kepada Allah Ta'ala.

Dengan jalan ilmu Tasawwuf seseorang dapat mengenal Allah dengan merasakan adanya Allah selalu. Ajaran ilmu Tasawwuf adalah isi agama, hakikat iman dan buah yakin.

Ajaran ilmu Tasawwuf adalah tahap tertinggi dari semangat segi gemilang yang paling sempurna dari adab-adab dan contoh yang termulia darinya. Ajaran ilmu Tasawwuf adalah pusaka yang diwarisi oleh para sahabat dari kaum muslimin.

Ilmu Tasawwuf membawa jalan selamat bukan jalan sesat :

Sebenarnya banyak yang di dalam kejahilan tidak memahami isi ilmu Tasawwuf. Terdapat kekeliruan mempelajari ilmu Tasawwuf. Dalam sejarah ajaran Islam, ilmu Tasawwuflah yang sering kali menghadapi serangan-serangan yang hebat.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa mempelajari ilmu Tasawwuf adalah bid'ah. Dan ada pendapat mengatakan bahawa ilmu Tasawwuf boleh membawa seseorang itu menjadi sesat.

Sebenarnya ilmu Tasawwuf adalah ilmu dapat mengenal Allah dengan merasakan adanya Allah, tidak sekadar mengetahui bahawa Allah itu ada dan tidak akan sempurna agama seseorang itu, jika tidak mempelajari ilmu Fiqeh dan ilmu Tauhid.

Begitu juga tidak akan sempurna ilmu hakikat jika tidak mempelajari ilmu Syariat dan Tarikat. Semuanya ilmu bergantung dan berkait antara satu dengan yang lain.

TASAWWUF : FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN ILMU TASAWWUF SEHINGGA MENJADI SATU ILMU YANG TERSENDIRI.

1- Diantara faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan Ilmu Tasawwuf mengikut sejarah ialah propaganda-propaganda Islam yang berasal daripada beberapa Negara terutama di Asia Barat. Mereka mempunyai sifat-sifat yang mulia dan cara-cara hidup yang sangat sederhana sehingga menarik ribuan manusia.

2- Kebanyakan daripada pengikut-pengikut mereka merupakan sukarelawan yang ikhlas dan menyerahkan segala apa yang ada pada mereka seperti harta dan jiwa, tujuannya ialah untuk membela agama yang dibawa oleh orang-orang sufi itu.

3- Mereka mencontohi segala perbuatan-perbuatan Nabi, Wali-wali dan Orang-orang yang soleh. Perbuatan mereka itu disegani, dihormati dan dicontohi oleh semua orang termasuk raja-raja dan ketua- ketua negeri.

4- Pengajaran yang diberikan oleh guru-guru kaum Ahli Sufi kepada murid-murid termasuk pendidikan di dalam dunia. Pengajaran ini adalah satu pengaruh yang paling kuat pada zaman kebelakangan ini. Guru-gurunya mempunyai sifat tidak  mengharapkan balasan wang ringgit dari muridnya. Yang diharap hanya dari Allah Ta'ala. Kemudian pula ada orang-orang sufi itu mendapat bantuan ghaib dari Allah. Ini lebih mempengaruhi murid-murid kepada guru-guru sufi itu sehingga mereka cinta dan sayang kepada guru.

Selasa, 2 Ogos 2011

AKAL ASAS TAKLIF UNTUK MENGENAL ALLAH.

Satu daripada asas taklif untuk mengenal Allah ialah 'Akal.' Selain daripada berakal, seseorang akan dikenakan taklif jika ia cukup umur dan sempurna segala pancainderanya seperti penglihatan dan pendengaran.

Manusia yang berakal dapat membezakan diantara baik dan buruk. Seseorang yang tidak berakal (mungkin sakit mental atau gila) tidak dikenakan taklif oleh kerana ia tidak boleh membezakan sama ada sesuatu itu baik atau buruk. Orang yang tidak dikenakan taklif tidak akan dipertanggungjawabkan di dalam syarak.

Orang-orang Muktazilah berpendapt bahawa syarat sah taklif ada 3 iaitu :-

1-  Berakal
2-  Cukup umur
3-  Sempurna pancaindera

Ahli Sunnah Wal Jamaah pula berpendapat bahawa syarat sah taklif ada satu lagi iaitu :-

1-  Sampai seruan agama pada orang itu.
     Tidak mencukupi bahawa seseorang itu mempunyai 3 syarat sahaja. Ahli Sunnah menganggap orang
     yang hidupnya terpencil jauh dari masyarakat dan tidak dapat seruan Nabi tidaklah terkena taklif
     (tanggungjawab syarak).
     Ini berdasarkan firman Allan dalam surah Al-Isra 15 : -


     Maksudnya : " Kami tidak akan menyeksa seseorang itu hingga terlebih dahulu kami utuskan seorang
                             Rasul ".

Puak Muktazilah berpendapat bahawa akal sahaja mencukupi untuk seseorang itu mengerti jalan-jalan yang boleh mengenal Tuhan. Perkataan 'Rasul' di dalam ayat tersebut diatas diberi makna 'akal'.

Sebagai contoh, Puak Muktazilah menganggap seseorang yang berakal itu sudah semestionya kenal tuhan dan manusia yang tidak diutuskan rasul (ahli fitrah) tidak terlepas dari tanggungjawab syarak.

Pendapat Ahli Sunnah tidak sama seperti diatas. Seseorang itu tidak dipertanggungjawabkan sehingga ia terlebih dahulu diperkenalkan kepada hukum-hukum syarak.

Pendapat Ahli Sunnah inilah yang benar dan sahih oleh kerana ada banyak dalil yang menguatkannya.