Catatan Popular

Sabtu, 5 Mac 2016

SOALAN JAWAPAN : USULUDDIN 1 ) TAUHID / TASAWWUF (PAST YEAR PAPER 2012)


BAHAGIAN A) TAUHID


1) Jelaskan pendapat Ahli Sunnah mengenai maksud mengucap Dua Kalimah Syahadat dan mengerjakan amal ibadat serta hubungan keduanya dengan iman.


Maksud Dua Kalimah Syahadat dan mengerjakan amal ibadat

Mengucap Dua Kalimah Syahadat ialah mengaku dan berikrar bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Mengerjakan amal ibadat ialah menunaikan kewajipan-kewajipan agama dan meninggalkan larangan-larangannya.


Hubungan Keduanya dengan Iman

Menurut pendapat Ahli Sunnah mengucap Dua Kalimah Syahadat tidak termasuk dalam hakikat iman tetapi ia hanya merupakan satu syarat untuk dijalankan hukum-hukum agama di dunia sahaja seperti syarat bagi orang kafir yang hendak memeluk agama Islam. Mengucap Dua Kalimah Syahadat juga merupakan tanda seseorang itu adalah orang Islam supaya dapat diperlakukan sebagai seorang Islam, seperti dijadikan imam sembahyang.

Golongan ini berpendapat bahawa keyakinan dan pengakuan iman itu adalah perkara yang tidak dapat dilihat oleh manusia selain daripada Allah.

Ahli Sunnah jua berpendapat orang yang menerima Islam dengan hati yang patuh, tetapi tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat tanpa sebarang keuzuran maka hukumnya mukmin disisi Allah tetapi Islam disisi masyarakat umpama seorang munafiq.

Ini berdasarkan dalil firman Allah Taa'ala mengenai orang munafiq dalam Surah Hujaraat ayat 14, mafhumnya : -

"Orang Badawi itu telah berkata : Kami telah beriman. Katakanlah kepada mereka : Kamu belum beriman, tetapi katakanlah : Kami telah menganut Islam dan iman belum lagi masuk ke dalam hati kami."

Mengerjakan amalan pula adalah merupakan syarat bagi orang-orang yang beriman untuk kesempurnaan imannya. Sesiapa yang tidak mengerjakan amal ibadat yang diperintahkan oleh Allah ia masih dianggap mukmin tetapi tidak sempurna imannya dan disifatkan sebagai orang yang durhaka. Tetapi jika ia ingkar akan wajib dan haramnya seperti mengatakan arak itu halal, maka hukumnya kafir.



ii) Ulama Mutakallimin berselisih pendapat mengenai bertambah dan berkurangnya iman. Nyatakan pendapat Imam Asy'ari mengenai dengan memberikan DUA dalil akal dan DUA dalil syarak bagi menyokong pendapat tersebut.

Imam Asy'ari berpendapat bahawa Iman bertambah dengan bertambahnya amal yang baik dan berkurangnya Iman dengan kurangnya amal baik.

Dalil Akal, antaranya :

1) Kebenaran dan keyakinan hati boleh bertambah dan berkurang dengan banyak timbang dan celik akal yang mendalam dan keterangan dalil diperolehinya dan berkurang dengan ketiadaan keduanya.

2) Kepercayaan yang timbul dari satu dalil tentulah tidak sama kuatnya dengan yang timbul dari dalil yang banyak, begitu juga kepercayaan yang timbul dari dalil yang ringkas tidak sama dengan kepercayaan yang timbul dari dalil satu persatu yang boleh menolak segala kekeliruan.

3) Iman yang sentiasa bertambah terus tidak ada kurang hanya iman nabi-nabi.

4) Jika iman tidak bertambah dan berkurang, tentulah iman orang biasa dengan iman nabi-nabi adalah sama sahaja. Ini adalah mustahil.


Dalil Naqli, antaranya :

1) Iman orang yang bertaklid tentulah tidak sama dengan iman orang yang betul-betul mengenali Allah, seperti firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 2 "Apabila dibacakan kepada mereka ayat Allah nescaya bertambahlah iman mereka". Ini menunjukkan iman boleh berubah.

2) Rasululllah pernah bersabda "Kalau ditimbang Iman Abu Bakar dengan Iman semua umat Islam, lebih berat Iman Abu Bakar".

3) Ibnu Umar r.a pernah bertanya kepada Rasulullah "Adakah iman itu boleh bertambah dan berkurang?" Jawab Rasulullah s.a.w.. "Ya !! Iman boleh bertambah hingga melayakkan tuannya memasuki syurga dan boleh berkurang menyebabkan tuannya masuk neraka".




2) Ulama Mutakalimin telah membahagikan sifat-sifat wajib bagi Allah Ta'ala kepada EMPAT bahagian iaitu Sifat Nafsiah, Salbiah, Ma'ani dan Ma'nawiah.

i) Tuliskan secara ringkas mengenai sifat Nafsiah bagi Allah Ta'ala serta dalil.

Sifat Nafsiah bagi Allah Ta'ala ada satu iaitu wujud (ada). Mustahil Allah bersifat tiada. Wujud bagi Allah ialah wujud zati, iaitu adanya Allah kerana zatNya, wujudnya Allah Ta'ala tidaklah dengan perantaraan sesuatu pun di luar zatNya, tidaklah sebagaimana adanya manusia iaitu manusia menggunakan perantaraan ibu dan bapa untuk wujud, sebaliknya wujud Allah tidak seperti manusia, hanya Allah Ta'ala sahaja Yang Maha Mengetahui.

Dalil Naqli menunjukkan adanya Allah Ta'ala dalam surah Az-Zumar ayat 4 "-

Dan Firman Allah Ta'ala dalam surah Az-Zumar ayat 5 ertinya :

" Telah menjadikan (Allah) tujuh lapisan langin dan bumi dengan kebenarannya".

atau

Dalil akal adanya Allah Ta'ala

Adanya alam ini yang berubah setiap masa dan waktu seperti matahari, bulan, bintang, kematian adanya binatang dan manusia, gunung-ganang, siang dan malam dan kejadian-kejadiannya yang sempurna, membuktikan dengan nyata adanya pencipta iaitu Allah Ta'ala. Dengan bukti kejadian itu akal menerima dan berkata : Mesti ada yang menjadikan dan mengadakan seluruh alam ini, tidak lain hanya pencipta yang sempurna dan berkuasa iaitu Allah Ta'ala.

Kejadian Alam yang sempurna adalah Dalil nyata wujudnya Allah Ta'ala.

Apabila kita pandang kepada kejadian manusia dan seluruh alam ini, maka kita dapati tiap-tiap satunya telah dijadikan cukup lengkap, elok, teratur dan sempurna. Ternyatalah sesungguhnya yang menjadikan semua ini tentulah pencipta yang mempunyai kuasa yang sempurna dengan sifat kesempurnaan yang mana suci dan tidak serupa dengan makhluk.

Dan Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-A'raaf ayat 54 ertinya :

"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi."

Dan lagi dalil Aqal : Alam dan setiap bahagiannya wajib berkehendak kepada Allah. Tiap-Tiap yang wujud wajib berkehendak alam kepadanya wajiblah wujudnya, jadi Allah itu wajib wujudnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan