Catatan Popular

Jumaat, 23 Disember 2011

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1 TAUHID 2011 (SOALAN 4) - (Beserta dengan jawapannya sekali.)

4) Jelaskan dengan ringkas DUA daripada perkara-perkara berikut :

i) Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan dasar-dasar kepercayaan mereka.

ii) Sifat-sifat yang wajib bagi rasul Allah berserta dalil 'aqli dan naqli.

iii) Pengertian Nifaq, Riddah, Syirik, Kufur dan Fasiq.


JAWAPAN


i) Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan dasar-dasar kepercayaan mereka.

Ahlus Sunnah bererti : Kepercayaan yang berpegang teguh dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. di dalam urusan agama.

Adapun Wal Jamaah bererti : Iaitu sahabar-sahabat nabi yang bersama-sama berjuang dan membantu dalam hal urusan agama, mereka sentiasa berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah S.A.W.

Bagi mereka yang kemudian dari peringkat ini yang mengikuti perjalanan sahabat-sahabat nabi iaitu dengan berpegang teguh dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W adalah dinamakan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kemudian jika mereka tidak dapat keterangan daripada Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W, maka mereka berpegang dengan hukum-hukum yang telah dipersetujui oleh sahabat-sahabat nabi.

Yang dimaksudkan dengan nama Ahlus Sunnah Wal Jamaah pada masa sekarang ini ialah pengikut-pengikut Al-Imam Abu Hassan Al-Ash'ari dan pengikut-pengikut Al-Imam Abu Mansor Al-Maturidi. Kepercayaan Ahlus Sunnah, bererti semuanya diambil dari perbuatan sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W dan ikutan kebanyakan dari jumlah yang besar daripada umat Islam di dalam dunia yang ada sekarang ini.

Sumber-sumber hukum dari Ahlus Sunnah Wal-Jamaah

1) Al-Quran
2) Hadith Rasulullah S.A.W.
3) Menerima Ijmak
4) menerima Qias

Kenyataan Ahlus Sunnah itu cukup terang, mereka tetap berpegang dengan hukum Al-Quran dan hukum hadith Rasulullah S.A.W dan menerima ijmak dan qias sebagai hukum di dalam syariat agama Islam.

Diantara dasar-dasar Ahlus Sunnah Wal Jamaah adalah :-

1- Percaya adanya Allah Ta'ala yang berkuasa dengan segalanya.
2- Tuhan mempunyai sifat-sifat yang sempurna, wajib diketahui oleh orang mukmin sebanyak 20 sifat, dan yang mustahil dan yang harus bagi Allah.
3- Wajib percaya adanya Malaikat, hanya yang wajib dipercaya ialah sebanyak 10 malaikat.
4- Wajib percaya Tuhan mempunyai nama-nama sebanyak 99 nama-nama Asma'ullah hul Husna.
5- Wajib percaya Allah menurunkan empat buah kitab : Al-Quran - Zabur - Injil - Taurat
6- Wajib percaya kepada rasul-rasul dan nabi-nabi. Yang 25 orang ini adalah Nabi dan juga Rasul.
7- Setiap orang Islam wajib percaya hari akhirat dan setiap orang akan ditunjukkan kejadian di padang Masyar seperti hisab (amalan-amalan baik dan jahat). Ada telaga kausar dan ada titian Siratul Mustaqim.
8- Wajib percaya adanya Qadha dan Qadar sama ada baik atau jahat adalah datangnya dari Allah, semuanya sudah tertulis di dalam azal di Lauh Mahfuz akan apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku keatas manusia itu.
9- Sahabat-sahabat dan khalifah-khalifah Rasulullah yang lebih utama mengikut tertib dan susunan ialah:
a) Khalifah Saiyidina Abd Bakar
b) Khalifah Saiyidina Umar
c) Khalifah Saiyidina Uthman
d) Khalifah Saiyidina Ali bin Abi Talib.
10- Anak-anak orang kafir, kalau mati kecil, akan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab.

*** (Calon hanya perlu menjawab 4 sahaja)


ii) Sifat-sifat yang wajib bagi rasul Allah berserta dalil aqli atau naqli.

Sifat yang wajib dan mustahil bagi rasul ada 4 : -

Amanah :

Terpelihara zahir dan batinnya dari melakukan sebarang maksiat atau perbuatan yang ditegah oleh Allah Ta'ala seperti zina, minum arak, bersifat ria dan sebagainya.

Dalil aqli : Jikalau rasul-rasul bersifat khianat (melakukan maksiat), tentulah pengikut mereka disuruh oleh Allah melakukan maksiat sebagaimana yang dilakukan oleh rasul-rasul tersebut, kerana pengikut itu diperintahkan mengikut rasul-rasul dalam semua hal, sedangkan Allah tidak sekali-kali menyuruh manusia melakukan perkara maksiat.

atau

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-A'raaf ayat 28:
                                                                قل إن الله لا يأمر بالفحشاء
Ertinya : Katakanlah (Muhammad), Sesungguhnya Allah tidak menyuruh perbuatan-perbuatan keji."


Siddek (Benar) lawan dusta :

Bersamaan berita dengan kejadian yang sebenar berlaku dan mustahil bersifat dusta.

Dalil aqli : Jikalau nabi-nabi berdusta pada cerita-cerita yang disampaikan dari Allah nescaya dustalah perakuan Allah S.W.T. sendiri, kerana rasul-rasul itu telah diperakui kebenarannya oleh Allah menerusi berbagai mukjizat.

atau

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-Haaqah ayat 44-47 :-

Ertinya : " Dan jikalau Nabi Muhammad itu mengatakan sesuatu perkataan yang tidak kami katakannya nescaya kami binasakan dengan cara yang seburuk-buruknya tanpa ada sesiapa pun dari kamu yang boleh melindungkannya."


Fathaanah (bijaksana).

Tiap-tiap rasul adalah bijaksanam tajam fikiran, cepat faham dan kuat ingatan. Dengan ini dapat mematahkan hujah-hujah lawannya yang mencabar dan berdegil terhadap seruannya. Sifat-sifat ini juga memudahkan rasul-rasul memberi penerangan jelas mengenai perutusan yang hendak disampaikannya.

Dalil aqli : Rasul-rasul diutus untuk menerangkan syariat Allah dan menghilangkan kekeliruan dengan hujah-hujah yang memuaskan hati. Kalau sekiranya mereka bodoh maka hilanglah faedah perutusan mereka kepada umat manusia.

atau

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-An'aam atat 83.
                                                              وتلك حجتنا ءاتينها إبرهيم على قومه
Ertinya : Dan itulah hujah kami yang telah kami anugerahkan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya."


Tabligh (Menyampai) :

Menyampaikan semua perkara yang diperintah oleh Allah S.W.T. supaya disampaikan kepada umatnya, dan mustahil bagi rasul bersifat menyembunyikan sesuatu (tidak menyampaikan) apa yang telah diperintahkan Allah kepada manusia.

Dalil aqli : Kalau rasul-rasul menyembunyikan sesuatu yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia nescaya kita jua diperintahkan untuk menyembunyikan ilmu, kerana Allah memerintahkan kita mentauladani rasul-rasul, ini tidaklah benar.

atau 

Dalil naqli : Firman Allah dalam surah Al-Ma'idah ayat 99 :
                                                وما على الرسول إلا البلغ والله يعلم ما تبدون وما تكتمون
Ertinya : Kewajipan rasul tidak lain hanyalah menyampaikan, dan Allah mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan."


iii) Pengertian Nifaq, Riddah, Syirik, Kufur dan Fasiq.

Nifaq ialah :

Secara zahir kelihatan seperti orang berugama Islam, tetapi batinnya tidak beriman dan tidak percaya pada hukum Allah Ta'ala dan rasul-Nya. Asal makna nifaq ialah menampilkan yang baik sedang hatinya tidak begitu.

Firman Allah Ta'ala :
                                                                  يقولون بألسنتهم ماليس في قلوبهم
Ertinya : Mereka berkata dengan lidah mereka, tetapi yang sebenarnya tidak ada di dalam hati mereka.

Riddah ialah :

Keluar dari agama Islam sebab ingkar pada hukum Allah dan hukum Rasulullah S.A.W dan mengikut kepercayaan yang lain dari ajaran Allah (agama Islam) dan perbuatan dan kelakuan serta perkataan bertentangan dengan hukum agama Islam.

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 217 :
Ertinya : Dan sesiapa yang menjadi murtad dikalangan kamu dari agamanya, maka dia mati kafir, maka binasalah segala amalannya di dalam dunia dan akhirat.

Syirik ialah :

Percaya tuhan itu lebih dari satu dan menyekutukan Allah dengan sesuatu, seperti katanya : Allah ada anak, ada kuasa lain yang lebih kuat dari Allah.

Firman Allah Ta'ala dalam surah An-Nisaa ayat 48 :
Ertinya : Sesunguhnya Allah tidak mengampuni orang yang syirik dengannya, dan mengampuni selain dari itu mereka yang dia kehendaki.

Kufur ialah :

Ingkar dan tidak mahu menerima kebenaran (Ajaran Islam). Sebab itu orang yang tidak percaya akan ajaran Islam dipanggil orang kafir. Kufur dengan erti kata lain ialah orang Islam yang tidak bersyukur kepada Allah, lupa pemberian Allah, lupa nikmat Allah, maka dinamakan kufur nikmat (kufur kecil).

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Imran ayat 131 :
                                                                      والتقوا النار التي أعدت للكفرين
Ertinya : Dan takutlah kepada api neraka yang mana disediakan untuk orang-orang kafir.

Fasiq ialah :

Orang yang keluar daripada jalan kebenaran dan tidak memperdulikan segala perintah Allah S.A.W. Mereka menyelesaikan masalah bukan menurut aturan Islam tetapi mengikut kehendak hawa nafsu.

Orang yang fasiq ini, Tuhan tidak menyukai kelakuannya dan Tuhan tidak memberi petunjuk kepada dirinya untuk jalan kebaikan.

Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Maidah ayat 108 :
                                                                والله لا يهدي القوم الفسقين
Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasiq.

1 ulasan:

  1. Casinos near Casino City, Nevada - JTA Hub
    Casinos Near Casino City, 태백 출장안마 Nevada · Joka Casino is the only place 구미 출장마사지 to play video poker and slots at 여주 출장마사지 Joka 의왕 출장안마 Casino, 삼척 출장마사지 a state-of-the-art casino resort that will

    BalasPadam