Catatan Popular

Isnin, 30 Januari 2012

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1, TASAWWUF 2011 (SOALAN 6) - (Berserta dengan jawapannya).

6) Huraikan dengan ringkas sejarah kelahiran ilmu Tasawwuf bermula dari zaman Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam hingga  berkembangnya pada abad kedua Hijrah.

JAWAPAN :

Bermulanya Ilmu Tasawwuf berpunca daripada kehidupan nabi besar kita Muhammad S.A.W. Kehidupan Nabi Muhammad S.A.W sebelum menjadi nabi dan lebih-lebih lagi setelah menjadi nabi dan Rasul dari allah Ta'ala.

Maka dalam menerangkan perkembangan ilmu Tasawwuf itu, kita mesti kembali balik semula kepada peri hidup Rasulullah S.A.W dan peri hidup sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W yang sentiasa berdampingan dengan Rasulullah S.A.W. Cara hidup Rasulullah S.A.W dan zaman Khulafa Ar-Rashidin sendiri telah mencerminkan cara hidup Tasawwuf.

Cara hidup yang demikian, sedikit demi sedikit lahirlah dan tersebarlah ilmu Tasawwuf dari ahli-ahli Tasawwuf meningkat secara mendalam yang diamalkan apa-apa yang telah dipunyai sifat-sifat yang mulia dari Nabi Muhammad S.A.W.

Orang-orang ahli sufi sentiasa mengamalkan apa-apa yang telah diamalkan dan dibawa hukum-hukum dari Rasulullah yang berdasarkan wahyu dari Allah.

Selepas itu perkembangan ilmu Tasawwuf mendapat benih-benih yang berfaedah dari seringnya Rasulullah S.A.W ke Gua Hira dan orang-orang sufi menjadikan unsur-unsur penting bagi peribadatan dan gambaran yang lengkap sebenar-benarnya.

Ahli-ahli Sufi (Tasawwuf) memandang pada pekerjaan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sehari-harian dan memandangkan Rasulullah sebagai Imam Besar dan Guru pertama dari ilmu Tasawwuf.

Kehidupan para sahabat pula sentiasa sederhana dan cinta kepada Allah dan Rasulullah S.A.W. Semua perkembangan fikiran mereka dan cara hidup mereka ialah untuk mendapat keredhaan Allah sahaja. Hidup dizaman pembangunan Islam dari semenjak zaman Rasulullah hinggalah ke zaman sahabat-sahabat tidak pernah terpisah dengan hidup kerohanian sebagai hidup orang-orang ahli Tasawwuf sebagai contoh cara hidup mereka ialah seperti mempunyai sifat zuhud, taat, istiqamah, mahabbah, ikhlas, jiwa bersih dari kotoran dan penyakit hati dan sifat-sifat yang tinggi dalam nilai-nilai ketinggian akhlak.

Demikianlah perkembangan ilmu Tasawwuf kesemuanya bersumberkan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabatnya. Selanjutnya ilmu Tasawwuf itu berkembang lagi dengan dimulai oleh salah seorang sahabat nabi yang mulia yang bernama Huzaifah bin Al-Yamani.

Menurut catatan sejarah; Dari sahabat nabi yang bernama Huzaifah bin Al-Yamani, inilah yang pertama mendirikan Madrasah Tasawwuf, tetapi belumlah terkenal dengan nama Tasawwuf, masih sangat sederhana sekali. Beliau telah menjadikan ibadat secara satu tariqat yang khusus serta membuka jalan dan teori-teori tasawwuf.

Huzaifah mempunyai ramai murid-murid yang handal dalam bidang ini yang kemudiannya menjadi ulama-ulama besar dan imam-imam Tasawwuf pada abad pertama Hijrah atau pada permulaan abad kedua hijrah. Antara muridnya yang terkenal ialah Imam Al-Hassan Al-Basri seorang ulama besar dari golongan tabi'en dan murid-murid yang lain seperti Malik bin Dinar, Thabit Al-Bandani, Muhammad bin Wasi' dan Ayub As-Sakhtiani.

Imam Al-Hassan Al-Basri merupakan orang pertama yang membawa jalan-jalan ilmu Tasawwuf, membuka lidah memperkatakannya, mempraktikkannya serta menghuraikannya. Adapun madrasah Al-Hassan Al-Basri ini didirikan di Basrah kerana banyak berlakunya perpecahan mazhab dikalangan umat Islam.

Dan seterusnya oleh Sa'ed bin Al-Musaiyab dari ulama besar Tabi'en yang mendirikan madrasah tasawwuf di Iraq. Diantara murid-muridnya yang terkenal dari kalangan ulama-ulama Tasawwuf Iraq ialah Abu Hamzah As-Sufi. Kemudian sebuah lagi madrasah Tasawwuf didirikan di Khurasan dipimpin oleh tokoh ulama besar yang bernama Ibrahim bin Adham. Sejak itu beberapa madrasah Tasawwuf lain telah dibuka oleh imam-imam besar dalam bidang ini di dalam Islam.

Ilmu Tasawwuf berkembang pesat dan mendapat kedudukan yang tetap di dalam jiwa masyarakat Islam hingga ke hari ini. Menurut sejarah dengan perkembangan ilmu Tasawwuf inilah, agama Islam terkenal di Afrika, Asia, sama ada Asia kecil atau Asia Timur, Asia Tengah hingga negara-negara yang lain oleh kerana sifat-sifat dan cara hidup sederhana orang ahli sufi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan