Catatan Popular

Isnin, 30 Januari 2012

PAST YEAR PAPER USULUDDIN 1, TAUHID 2011 (SOALAN 5) - (Beserta dengan jawapannya).

5) Baharu alam ini merupakan dalil 'aqli yang biasa digunakan dalam mengisbatkan kewujudan Allah Subhanahy Wata'ala. Bincangkan.

JAWAPAN

Alam dalam istilah ilmu kalam ialah segala sesuatu yang lain daripada Allah, ini termasuk cakerawala dan makhluk-makhluk lain semuanya. Manusia diminta supaya menyelidiki dan berfikir terhadapa alam ini, bagaimana ianya diciptakan, siapakah penciptanya dan bagaimana pula kesudahannya.

Manusia yang mukallaf adalah berkewajipan memerhati, memikir dan menyusun dalil-dalil sehingga sampai kepada mengenal Allah, kerana dengan mengenal Allah sajalah mereka akan terselamat di Hari Kiamat kelak.

Orang yang berfikir akan dapat menemui tanda-tanda wujud Allah yang maha kuasa dan maha agung dalam tiap-tiap suatu yang ada dalam alam ini. Seperti orang yang berfikir tentang dirinya. Bagaimanakah ia dijadikan? Daripada apakah ianya disusun? Bagaimanakah sistem perjalanan anggotanya? Bagaimanakah sel-sel badan mendapat bahan makanan dari darah? Mengapa ia merasa suka dan duka, kasih dan benci? Siapakan yang membuat semua itu? Tak lain dan tak bukan semuanya itu diciptakan oleh Allah sebagaimana firmannya :-

" Wahai manusia, apakah yang memperdayakan engkau terhadap Tuhan engkau yang telah menyempurnakan kejadian engkau dan membuat engkau dengan ukuran yang seimbang mengikut bentuk yang dikehendaki oleh susunan engkau ".

Begitu juga apabila diperhatikan kepada bulan dan matahari. Bagaimanakah keduanya ini beredar sejak berjuta-juta tahun dengan perturan yang tetap dan tidak pernah rosak? Kalaukah direnung dan difikirkan rahsia ini semua tentulah didapati bahawa penciptanya tidak lain dari Allah seperti firmannya :-

" Matahari itu beredar menurut ketetapannya. Itulah ukuran dari Tuhan yang maha kuasa dan maha mengetahui. Dan bulan itu telah ditentukan baginya beberapa darjat, hingga ia kembali seperti lingkaran pelapah kering yang tua. Matahari tidak sepatutnya mengejar bulan dan siang tidak dapat pula mendahului malam, masing-masing berjalan mengikut peredarannya."

Semua alam ini mempunyai bukti yang menunjukkan ianya baharu dan berhajat kepada penciptanya yang bijaksana. Pencipta ini tidak lain dari Allah. Orang yang telah dipengaruhi oleh dunia dan dibesarkan oleh syaitan sahajalah yang berani mengingkari wujudnya Allah. Mereka ini bertujuan untuk melepaskan diri dari tanggungjawab syarak. Mereka ini menimbulkan berbagai kekeliruan yang boleh mempengaruhi jiwa yang lemah. Pihat berwajib adalah bertanggungjawab membasmikan segala kekeliruan yang ditimbulkan itu, dengan menerangkan dalil-dalil wujudnya Allah dengan cara yang logik.

Dalil-Dalil yang menunjukkan alam ini baharu :


Alam ini terdiri dari dua unsur, iaitu Jauhar dan Aradh. Jauhar ialah zat yang memenuhi ruangan sekadar ukurannya, manakala Aradh ialah sifat-sifat yang memenuhi ruangan kerana bergantung kepada zat. Tiap-tiap zat tentulah ada sifat dan begitulah sebaliknya. Misalnya satu jisim yang tidak bergerak dan tidak diam tentu tidak boleh diterima oleh akal kerana adanya jisim tanpa bersifat dengan salah satu dari sifat-sifat yang berlawanan itu mustahil.

Aradh itu baharu kerana ianya sentiasa bertukar ganti dan hilang. Pada setengah-tengah Aradh, kita boleh lihat kehilangannya dengan nyata. Kita selalu melihat sifat-sifat benda yang bertukar ganti dari gerak kepada diam dan begitulah sebaliknya. Apabila suatu benda itu bergerak, kemudian diam, bererti sifat bergerak itu telah hilang. Ini dapat kita saksikan setiap waktu.

Bagi Aradh (sifat) yang tidak pernah kita lihat kehilangannya pula bolehlah kita kiaskan dengan apa yang berlaku pada Aradh yang boleh dilihat itu kerana keduanya sama-sama Aradh. Apa yang harus berlaku pada salah satunya tentulah harus berlaku pula pada yang lain. Jadi apabila Aradh itu boleh hilang dan lenyap maka berertilah ianya baharu, kerana jikalau ia tidak baharu tentulah ia tidak akan hilang.

Jauhar tidak mungkin sekali-sekali berpisah dari Aradh, kerana Jauhar tanpa Aradh tidak mungkin diterima oleh akal. Jadi sesuatu yang tidak boleh berpisah dengan yang baharu tentulah ianya baharu juga. Jikalau alam ini qadim tentulah ianya ada pada azali lagi, iaitu sebelum wujudnya Aradh. Ini tentulah mustahil.

Dari dalil ini jelas bahawa alam dan kedua-dua bahagiannya (Jauhar dan Aradh) adalah baharu dan ada penciptanya dan pencipta itu tidak lain daripada Allah Ta'ala.

Musuh-musuh Islam telah cuba menimbulkan beberapa kekeliruan terhadap dalil-dalil tersebut, antara lain ialah :

1- Mereka berkata : membahagikan alam kepada Jauhar dan Aradh serta menjadikan Aradh itu perkara tambahan kepada Jauhar untuk dibuat dalil diatas kebaharuan alam tidak dapat diterima, kerana tidak ada perkara yang lebih bertambah.

Kekeliruan ini dapat ditolah kerana berlebihanya Aradh diatas Jauhar itu perkara yang amat mudah difaham. Setiap orang boleh membezakan diantara jisim yang diam dan jisim yang bergerak. Jadi kedua-dua zat dan sifat itu boleh berubah-ubah.

2- Mereka berkata : kami menerima yang Aradh itu berlbih diatas Jauhar, tetapi kami tidak dapat menerima bahawa Aradh itu boleh hilang apabila datang lawannya. Sesuatu jisim yang bergerak apabila ia diam tidaklah bermakna bahawa geraknya itu telah lenyap, kerana mungkin sifat itu berada dengan bersendirian takkala bercerai dari Jauhar.

Kemunghkinan yang seumpama ini tidak dapat diterima kerana Aradh itu tidak boleh wujud dengan sendiri dan akal tidak dapat menerima wujudnya sesuatu sifat tanpa ada barang yang disifatkan. Gerakan tidak mungkin wujud tanpa ada yang bergerak, begitulah juga diam tidak akan berlaku tanpa ada suatu jisim yang bersifat dengannya.

3- Mereka berkata : kami menerima bahawa Aradh itu wujud dengan bersendirian, tetapi kami tidak dapat menerima yang Aradh itu boleh hilang dan lenyap, kerana ada kemungkinan ia akan berpindah dari Jauhar itu kepada Jauhar yang lain. Maksudnya gerakan yang ada pada suatu Jauhat itu apabila ianya berhenti akan terus berpindah kepada Jauhar lain yang bergerak.

Kemungkinan ini juga tidak dapat kita terima, kerana perpindahan seperti itu masih ada juga masa yang Aradh itu berada dengan keadaan bersendirian, iaitu semasa perpindahan dari jisim pertama kepada jisim kedua, sedangkan Aradh telah sabit tidak harus adanya dengan bersendirian.

4- Mereka berkata : bahawa Aradh itu hilang dan lenyap kerana mungkin sifat itu bersembunyi dalam jisim semasa lahirnya sifat yang bertentangan dengannya.

Kemungkinan ini juga tertolak kerana ianya membawa kepada terhimpunnya dua sifat yang berlawanan walaupun salah satunya lahir diluar dan satu lagi bersembunyi di dalam. Ini bermakna jisim itu bergerak dan diam dalam satu masa yang sama. Ini adalah mustahil.

5- Mereka berkata : bahawa Aradh itu tidak bersembunyi tetapi ianya hilang terus. Walaupun begitu kami tetap tidak dapat menerima bahwa baharunya Aradh itu terbawa kepada baharunya Jauhar. Kerana Aradh dan Jauhar itu tidak ada perkaitannya. Jauhar harus wujud tanpa Aradh.

Kekeliruan ini juga tertolak, kerana perkaitan yang tetap diantara Jauhar dan Aradh mesti ada supaya tidak ternafi kedua-dua sifat yang berlawanan. Kerana jika kedua-duanya ternafi bermaknalah jisim itu tidak bergerak dan tidak diam. Ini tentulah mustahil.

6- Mereka berkata lagi : Aradh itu boleh hilang dan ada perkaitan yang tetap dengan Jauhar, tetapi kami masih tetap mengatakan Aradh itu qadim dan boleh hilang.

Kekeliruan ini juga ditolah kerana yang qadim itu wajib wujudnya dan akal tidak akan menerima tiadanya.

7- Akhirnya mereka berkata : kami tidak boleh menerima bahwa yang berkait dengan yang baharu itu mesti baharu, kerana harus juga Aradh itu baharu yang tidak ada permulaan wujudnya. Maka bolehlah Jauhar berkaitan dengannya bersifat qadim.

Didalam kata-kata ini terkandung dalil yang menunjukkan batalnya. Kerana apabila Aradh itu diakui baharu tentulah ada permulaannya. Maka mengatakan Aradh itu baharu tanpa ada permulaan adalah bertentangan dan bertolak.

Dalam kata-kata ini terkandung dalil yang menunjukkan batalnya. Kerana apabila Aradh itu diakui baharu tentulah ada permulaannya. Maka mengatakan Aradh itu baharu tanpa ada permulaan adalah bertentangan dan bertolak.

Inilah tujuh jawapan diatas kekeliruan-kekeliruan yang telah ditimbulkan oleh musuh-musuh akidah Islam, tetapi telah ternyata lemah dan tidak berkemampuan untuk menentang kebenaran. Sekarang terbuktilah kepada kita yang alam ini adalah baharu.

Keputusan yang mengatakan alam dengan kedua-dua bahagiannya (Jauhar dan Aradh) baharu adalah hasil daripada pemikiran secara lojik iaitu :-

Alam ini harus binasa.
Tiap-tiap yang harus binasa mustahil qadim.
Apabila mustahil qadim maka tentulah baharu.




Bangkangan dari ahli-ahli tabie :
 

Golongan ahli tabie (Naturalist) ini mengatakan bahwa alam ini terjadi dengan sendiri tanpa berhajar kepada pencipta. Mereka bukan sebagaimana yang dipercayai oleh ahli-ahli agama. Kalau kita bertanya kepada golongan ini,  apakah tabiat yang menjadikan alam ini? Mereka akan menjawab, didalam tiap-tiap tubuh atau bahan didalam alam ini ada satu tabiat yang tertentu baginya. Sepertinya pokok ada tabiat menyubur dan logam ada tabiat menerima untuk dibentuk. Ini dapat disaksikan apabila satu bijian itu jatuh ke tanah, ia akan tumbuh, subur dan membesar hingga menjadi sebatang pokok dengan menjalani tabiatnya sendiri.

Teori ini mudah sahaja ditolak, kerana didalam kata-kata mereka itu sendiri terkandung dalil-dalil kepalsuannya. Tabiat sesuatu itu tidak lain dari sifat-sifat yang tetap ada padanya sama ada nyata atau bersembunyi, seperti biju-bijian yang menerima subur apabila disemai. Pendeknya mestilah ada bijian dan tanah. Adakah logik bahawa tabiat yang bererti sifat-sifat itu boleh ada bersendirian sahaja tanpa ada jisim-jisim yang ditumpanginya. Ini alah satu kekeliruan untuk memesongkan orang-orang yang lemah, padahal kekeliruan mereka itu sudah nyata kepalsuannya. Orang yang tertipu dengan kepalsuan ini lambat laun akan sedar juga kepalsuannya, iaitu tatkala ternyata tabiat yang dikatakan itu tidak lain dari Aradh manakala jisim-jisim yang ditumpanginya ialah Jauhar. Kedua-duanya adalah baharu sebagaimana yang telah dibincangkan. Tiap-tiap yang baharu berhajat kepada pencipta. Siapakah pencipta itu, Jawabnya ialah Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan