Catatan Popular

Rabu, 3 Ogos 2011

TASAWWUF : AJARAN TASAWWUF MENGAJAR MANUSIA CARA HIDUP YANG TIDAK MENINGGALKAN FITRAHNYA.

Sebenarnya ilmu Tasawwuf dan peri hidup kaum sufi tidaklah bertujuan hanya memilih hidup akhirat sahaja, sebaliknya ajaran ilmu Tasawwuf dan kaum sufi sendiri menggalakan mencari kehidupan dunia sama ada senang atau susah dunia dan akhirat.

Saiyidina Ibrahim bin Adham (tokoh sufi yang terkenal) pernah berkata :

Tasawwuf itu bukan suatu sistem hidup yang kasar atau keras. Bukan sistem menekan diri dan ikut perasaan atau membawa manusia hidup miskin dan susah. Bukan membawa manusia hidup meninggalkan fitrahnya yang biasa kerana itu merupakan ciptaan Allah dan semula jadi manusia, menurut kehidupan yang sebenarnya, iaitu :

1- Hidup sederhana (sederhana didalam segala perkara yang baik).

2- Hidup dengan melaksanakan sesuatu amal kebajikan pada tempatnya.

3- Tidak kurang hajat hidup dan tidak pula lebih.

Hidup kaum sufi yang sebenarnya bukanlah supaya meninggalkan segala kemewahan harta dunia, tetapi sebenarnya ialah :

1- Hidup orang sufi ialah hidup dengan roh yang jernih, suci bersih dari daki hati seperti hasad dengki dan busuk hati ;

2- Hidup di dalam alam yang penuh dengan pancaran cahaya Allah dan petunjuk Allah; dan

3- Tidak hidup didalam dunia seperti kehidupan binatang yang sentiasa mencari kesalahan dan suka bermusuh-musuhan.

Ahli kaum sufi hanya mengingatkan orang-orang yang ingin mencari kekayaan dunia serta kemewahan dunia jangan terlalu sangat berebut-rebut mencari dan memperbanyakkan harta dan kesenangan. Ingatlah harta dan kesenangan di dunia akan terbatas.

Ingatlah di atas orang yang besar ada lagi lebih besar, di atas yang kaya ada lagi yang lebih kaya, maka tidak ada seseorang pun yang merasa cukup dan keinginannya dalam bidang harta, pangkat, kesengangan, kekayaan, kemewahan, kebesaran, bagaimana pun kekayaan dan kesenangan yang diperolehi, ia masih melihat bahawa ia masih susah juga dan serba kekurangan.

Cara hidup orang Ahli Sufi.

Hidup kaum sufi dan matlamat Tasawwuf hanya mencari keredhaan Allah dan mengenal Allah lebih dekat. Kaum sufi selalu mengikut kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya.

Kaum sufi sentiasa hidup secara sederhana, tidak keterlaluan dengan harta atau pangkat atau mencari nama atau pembangunan. Kaum sufi sentiasa mengikut jejak langkah Rasulullah s.a.w yang menerima apa yang ada. Mereka sentiasa mencari dua kehidupan yang sederhana, alam dunia dan alam akhirat.

Kaum sufi mengetahui sekiranya mencari kekayaan yang keterlaluan nescaya boleh lupa Allah hingga berani melawan hukum Allah, maka mereka selalu ingat, jika mencari kekayaan dunia sahaja boleh mendatangkan keburukan seperti di bawah ini :-

1- Kebendaan boleh membawa kepada lupa dan anti Tuhan.
2- Kebendaan boleh membawa fitnah dan akhirnya binasa.
3- Kebendaan boleh membawa permusuhan dan kebencian.
4- Kebandaan boleh membawa kezaliman dan kehilangan sifat malu.
5- Kebendaan boleh membawa kepada sifat tipu dan bohong.
6- Kebendaan boleh membawa kepincangan hidup dan akhirnya menjadi miskin.

Ajaran ilmu Tasawwuf menunjukkan jalan keselamatan hidup :

Ajaran ilmu Tasawwuf merupakan dasar pokok kekuatan batin, pembersih hati dan jiwa, menguatkan Iman, menambahkan amal soleh semata-mata mencari keredhaan Allah. Dengan mempelajari ilmu Tasawwuf, Insyaallah dapat memperkuatkan jihad dalam latihan jiwa dan kunci untuk mengenal Allah dan dapat hidup yang sempurna dan penghidupan yang baik atas dasar-dasar keimanan kepada Allah Ta'ala.

Dengan jalan ilmu Tasawwuf seseorang dapat mengenal Allah dengan merasakan adanya Allah selalu. Ajaran ilmu Tasawwuf adalah isi agama, hakikat iman dan buah yakin.

Ajaran ilmu Tasawwuf adalah tahap tertinggi dari semangat segi gemilang yang paling sempurna dari adab-adab dan contoh yang termulia darinya. Ajaran ilmu Tasawwuf adalah pusaka yang diwarisi oleh para sahabat dari kaum muslimin.

Ilmu Tasawwuf membawa jalan selamat bukan jalan sesat :

Sebenarnya banyak yang di dalam kejahilan tidak memahami isi ilmu Tasawwuf. Terdapat kekeliruan mempelajari ilmu Tasawwuf. Dalam sejarah ajaran Islam, ilmu Tasawwuflah yang sering kali menghadapi serangan-serangan yang hebat.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa mempelajari ilmu Tasawwuf adalah bid'ah. Dan ada pendapat mengatakan bahawa ilmu Tasawwuf boleh membawa seseorang itu menjadi sesat.

Sebenarnya ilmu Tasawwuf adalah ilmu dapat mengenal Allah dengan merasakan adanya Allah, tidak sekadar mengetahui bahawa Allah itu ada dan tidak akan sempurna agama seseorang itu, jika tidak mempelajari ilmu Fiqeh dan ilmu Tauhid.

Begitu juga tidak akan sempurna ilmu hakikat jika tidak mempelajari ilmu Syariat dan Tarikat. Semuanya ilmu bergantung dan berkait antara satu dengan yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan